Mesyuarat menteri negara FPDA setuju tingkat kerjasama

 Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada sidang media selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan FDMM ke-11 dan Sambutan Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) ke-50 hari ini. - Foto Bernama
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada sidang media selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan FDMM ke-11 dan Sambutan Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) ke-50 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Fokus kepada usaha meneruskan siri pertempuran tahap tinggi dengan pengenalan kepada aset generasi ke-50 adalah antara tindakan yang dipersetujui dalam mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan (FDMM) Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) ke-11.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia turut termasuk meningkatkan misi Anti-Terrorism.

Beliau berkata, mesyuarat itu juga bersetuju memberi lebih banyak fokus kepada pengenalan aspek keselamatan siber secara progresif dalam latihan-latihan FPDA.

"Kita juga akan meneruskan program pemerhatian sebagai satu cara untuk meningkatkan ketelusan dan jaminan dengan negara rakan serantau,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di sini pada Khamis.

Hishammuddin berkata, dengan prinsip 3R yakni Bidang Kuasa (Remit), Relevan, dan Jaminan (Reassurance), FPDA ke-50 menetapkan hala tuju masa depan terhadap keutamaan strategi FPDA, proses organisasi dan struktur serta rancangan aktiviti.

Beliau berkata, mesyuarat FDMM pada Khamis adalah pengesahan terhadap komitmen berterusan kelima-lima negara FPDA.

"Semua pemimpin menyuarakan rasa puas hati dengan hasil mesyuarat yang meliputi pertukaran pandangan mengenai kemunculan cabaran berhubung keselamatan dalam konteks kerjasama pertahanan serantau, perbincangan mengenai latihan dan kegiatan FPDA, rancangan 10 tahun latihan dari 2022 hingga 2031, dan penerapan FPDA Anniversary Stock-Take ke-50,” katanya.

Mesyuarat yang diadakan secara fizikal dan secara maya itu dihadiri oleh Menteri Pertahanan Australia, Peter Dutton; Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen; Menteri Pertahanan New Zealand, Penni Henare dan Menteri Angkatan Tentera United Kingdom, Dr Jammes Heapey. - Bernama

Artikel Berkaitan: