Serah SST bagi projek Pusat Kawalan Penyakit Negara di Nilai

Fadillah- Foto fail Bernama
Fadillah- Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kerja Raya (KKR) menyerahkan lima Surat Setuju Terima Tender (SST) kepada kontraktor berjaya termasuk bagi projek pembinaan Pusat Kawalan Penyakit Negara (NCDC) bernilai RM284 juta di Nilai, Negeri Sembilan.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, NCDC akan dilengkapi makmal diagnostik dan pengesahan analitik bertaraf tinggi untuk mengesan penyakit baharu serta penyakit berjangkit.

Beliau berkata, projek yang akan dilaksanakan syarikat Nepturis Sdn Bhd dan Permata Rebana Sdn Bhd itu juga akan menjadi pusat rujukan bagi negara-negara jiran di khususnya di rantau Asia Pasifik.

"Tempoh kontrak bagi projek ini selama 196 minggu atau tiga tahun sembilan bulan di atas Lot 34671, Lengkuk Teknologi, Kawasan Perindustrian Enstek di Nilai.

"Tujuan projek ini dilaksanakan untuk mengintegrasi dan memperkukuhkan aktiviti kawalan dan pencegahan penyakit," katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan SST dan Penyerahan Projek Siap di bawah Pelaksanaan KKR dan Jabatan Kerja Raya (JKR) di Kompleks Kerja Raya pada Khamis.

Hadir sama, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Selain NCDC, penyerahan SST itu juga melibatkan projek menaik taraf Jalan Muar-Tangkak: Jalan Pintas dari Kolej Matrikulasi ke Kawasan Perindustrian Tangkak, Johor dan projek Membina Jalan Penghubung di antara Kampung Guntur ke Langkap, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Ia turut membabitkan projek Pembinaan Tapak Simulasi Bencana Bagi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia di Pulau Meranti, Selangor serta projek Pembinaan Sekolah Baharu 24 bilik darjah di Sekolah Menengah Kebangsaan Gong Nangka, Terengganu.

Artikel Berkaitan:

Penyerahan projek siap pula melibatkan Projek Menaiktaraf Jalan Persekutuan FT45 Sungai Buloh ke Assam Jawa di Kuala Selangor.

Sementara itu, Fadillah turut mengingatkan semua kontraktor yang menerima SST supaya mematuhi tempoh kontrak ditetapkan dan memastikan pembinaan dibuat dengan baik serta berkualiti.

Menurutnya, kegagalan untuk berbuat demikian menyebabkan kontraktor terlibat boleh didenda atau kontrak ditamatkan serta disenaraihitamkan.

"Sebab itu kontraktor kena siapkan projek. Kalau tak siap, siap engkau," katanya dalam nada berseloroh.

Selain itu, Fadillah berkata, KKR menyasarkan sebanyak 120 SST dikeluarkan menjelang hujung tahun ini.

Setakat ini, katanya, sebanyak 81 SST sudah dikeluarkan kepada kontraktor yang berjaya dan bakinya masih dalam proses untuk dikeluarkan oleh JKR.