X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

KKR, KKM tubuh pasukan petugas khas tangani projek sakit

Fadillah
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menubuhkan pasukan petugas khas atau 'task force' bagi menangani kes 'projek sakit' membabitkan pembinaan hospital dan klinik kesihatan.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pasukan petugas khas itu akan mencari pendekatan baharu dalam pelaksanaan projek pembinaan fasiliti baharu di bawah KKM.

Beliau berkata, persetujuan untuk penubahan pasukan petugas khas itu hasil daripada bengkel yang dijalankan secara bersama antara KKR dan KKM.

"Kita sedia maklum, pembinaan hospital dan klinik kesihatan ini agak mencabar kerana ia bukan satu bangunan biasa tetapi melibatkan (pemasangan) kemudahan kesihatan.

"Kita juga sedar bahawa cabaran-cabaran ini menyebabkan projek pembinaan hospital umpamanya menjadi projek sakit kerana lewat siap," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima Tender (SST) dan Penyerahan Projek Siap bagi projek di bawah pelaksanaan KKR dan Jabatan Kerja Raya (JKR) di Kompleks Kerja Raya di sini pada Khamis.

Hadir sama, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, pendekatan baharu akan dicadangkan pasukan petugas khas selepas meneliti permasalahan bagi projek-projek sakit yang dikenal pasti.

"Kaedah baharu ini akan digunakan dalam pembinaan hospital baharu dan ia akan menyelesaikan permasalahan yang dialami sebelum ini.

"Misalnya, salah satu punca kelewatan yang dikenal pasti disebabkan kontraktor kurang berkemampuan dari segi aliran tunai.

"Jadi pasukan ini akan cari kaedah untuk tentukan kontraktor itu mempunyai keupayaan bukan sahaja dari segi teknikal tetapi juga dalam aspek kewangan," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perkara yang akan turut diteliti adalah tentang penggunaan kaedah pemodelan maklumat bangunan dan sistem bangunan berindustri (IBS) serta reka bentuk bangunan yang lebih mudah dalam projek pembinaan tersebut bagi mengurangkan masalah kelewatan projek siap.

"Reka bentuk bangunan yang lebih mudah akan turut diteliti kerana dalam kes projek sakit sebelum ini, reka bentuk yang sukar juga menjadi antara penyebab projek itu lewat siap.

"Apa yang penting, hospital perlu mempunyai ruang yang cukup, praktikal dan boleh digunakan semua orang," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!