Dakwaan buruh paksa: Sarung tangan Supermax disekat masuk AS

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sarung tangan pakai buang yang dihasilkan oleh anak syarikat milik penuh Supermax Corporation Bhd, Maxter Glove Manufacturing Sdn Bhd, Maxwell Glove Manufacturing Bhd dan Supermax Glove Manufacturing akan ditahan daripada memasuki semua pelabuhan masuk Amerika Syarikat (AS) berkuat kuasa Khamis.

Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS telah mengeluarkan Perintah Sekatan Pelepasan (WRO) terhadap Supermax Corporation Bhd dan anak syarikatnya yang didakwa berdasarkan maklumat bahawa secara munasabah menunjukkan penggunaan buruh paksa dalam operasi pembuatan mereka.

CBP telah mengenal pasti 10 daripada petunjuk Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai buruh paksa dalam siasatannya.

“Dengan WRO ini, Pentadbiran Biden-Harris terus menegaskan bahawa produk yang dibuat secara keseluruhan atau sebahagian oleh buruh paksa tidak akan dibenarkan masuk ke AS,” kata Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Alejandro N. Mayorkas dalam kenyataan yang disiarkan di laman web rasmi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS).

“DHS akan terus menetapkan standard antarabangsa untuk pemansuhan amalan buruh paksa. Kami akan mengeluarkannya daripada rantaian bekalan AS,” katanya.

Penolong Pesuruhjaya Eksekutif di Pejabat Perdagangan CBP AnnMarie R. Highsmith berkata, dengan 10 daripada 11 petunjuk buruh paksa yang dikenal pasti semasa siasatan CBP, ia mempunyai bukti yang mencukupi untuk menyimpulkan bahawa Supermax Corporation Bhd dan anak syarikatnya didakwa menghasilkan sarung tangan yang melanggar undang-undang perdagangan AS.

“Sehingga Supermax dan anak syarikatnya dapat membuktikan proses pembuatannya bebas daripada buruh paksa, barangan mereka tidak dibenarkan di sini,” katanya.

Undang-undang Persekutuan 19 U.S.C 1307 melarang pengimportan barang dagangan yang dihasilkan, sepenuhnya atau sebahagian oleh buruh paksa termasuk buruh paksa kanak-kanak dan buruh terikat.

Artikel Berkaitan:

CBP menahan penghantaran barangan yang disyaki diimport melanggar undang-undang ini.

Pengimport penghantaran yang ditahan berpeluang mengeksport penghantaran mereka atau menunjukkan barang dagangan itu tidak dihasilkan oleh buruh paksa. -Bernama