Program vaksinasi secara 'walk in' dapat sambutan luar jangkaan

Hamdan (kiri) meninjau proses vaksinasi secara 'walk in' yang diadakan di luang legar Kompleks MBK di sini pada Khamis.
Hamdan (kiri) meninjau proses vaksinasi secara 'walk in' yang diadakan di luang legar Kompleks MBK di sini pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Program Vaksinasi Covid-19 secara 'walk in' di ruang legar Kompleks Bandaraya Kuantan (MBK) di sini mendapat sambutan luar jangkaan pada Khamis.

Berdasarkan jangkaan awal, sambutan hanya 'biasa-biasa' dengan 200 dos vaksin jenis Sinovac disediakan bagi penerima dos pertama namun bilangan orang ramai yang datang jauh melebihi angka tersebut.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan, Datuk Hamdan Hussin berkata, berdasarkan sambutan diterima, kehadiran orang ramai dijangka terus meningkat kepada 700 hingga 1,000 orang sehingga jam 4 petang.

Menurutnya, sehingga jam 11.30 pagi, bilangan dos vaksin telah ditambah sehingga 500 dos.

"Sekiranya kehadiran orang ramai terus bertambah, pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) memberi jaminan dos vaksin tambahan akan disediakan bagi memastikan mereka yang datang mendapat dos vaksin masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau proses pemberian vaksin di ruang legar Kompleks MBK di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Hamdan berkata, pihak PKD Kuantan menyediakan tiga jenis vaksin iaitu Pfizer, Sinovac dan CanSino di mana penerima boleh membuat pilihan untuk vaksin yang akan diterima.

Artikel Berkaitan:

"Bagi golongan warga emas, keutamaan diberikan untuk vaksin dos tunggal, CanSino," jelasnya.

Sebahagian orang ramai yang hadir menerima suntikan vaksin pada Program Vaksinasi Covid-19 secara 'walk in' yang diadakan di ruang legar Kompleks MBK di sini pada Khamis.(Gambar kecil: Mohd Hafisar dan Mohd Shahfirul Hisham)
Sebahagian orang ramai yang hadir menerima suntikan vaksin pada Program Vaksinasi Covid-19 secara 'walk in' yang diadakan di ruang legar Kompleks MBK di sini pada Khamis.(Gambar kecil: Mohd Hafisar dan Mohd Shahfirul Hisham)

Beliauberkata, MBK bersama PKD Kuantan mengambil inisiatif mengadakan program vaksinasi secara 'walk in' itu bagi memberi peluang kepada orang ramai yang belum menerima vaksin untuk berbuat demikian.

"Walaupun tempoh pemberian vaksin ini sudah lama berlangsung, kita menjangkakan masih ada yang belum berbuat demikian atas pelbagai alasan. Justeru pemberian vaksin secara 'walk in' ini akan memudahkan mereka untuk menerima dos pertama masing-masing.

"Kita lihat hari ini, ramai yang merebut peluang termasuk dalam kalangan remaja, warga emas dan juga warga asing," katanya.

Sementara itu rata-rata penerima yang ditemui mempunyai alasan tersendiri atas kelewatan mereka mengambil vaksin.

Mereka bukan golongan antivaksin yang mengubah pendirian semata-mata untuk menikmati kemudahan dan kelonggaran diberikan kerajaan termasuk kebenaran rentas negeri kepada individu yang sudah menerima valsin lengkap.

Bagi Mohd Shahfirul Hisham Mohd Shukri, 24 dari Kampung Tengah di sini, dia terpaksa menangguhkan pengambilan vaksin sebanyak dua kali kerana menjalani kuarantin.

"Bukan sengaja menolak tetapi keadaan tidak mengizinkan. Bila ada peluang sebegini, saya segera mengambil peluang.

K Rajakamaran dan isterinya,S Karpaham antara yang hadir menerima suntikan vaksin dos pertama pada Program Vaksinasi Covid-19 secara 'walk in' yang diadakan di ruang legar Kompleks MBK di sini pada Khamis.
K Rajakamaran dan isterinya,S Karpaham antara yang hadir menerima suntikan vaksin dos pertama pada Program Vaksinasi Covid-19 secara 'walk in' yang diadakan di ruang legar Kompleks MBK di sini pada Khamis.

"Selain atas faktor kesihatan, saya juga sedar pengambilan vaksin juga penting dalam urusan seharian lebih-lebih lagi untuk urusan perkahwinan saya yang dijadualkan hujung tahun ini," katanya.

Bagi pasangan suami isteri, K Rajakamaran, 61, dan isterinya, S Karpaham, 51, dari Bukit Setongkol mengakui pada awalnya mereka takut untuk mengambil vaksin selain tidak selesa untuk beratur panjang di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) atas faktor usia.

Bagaimanapun atas nasihat anak-anak, mereka akhirnya membuat keputusan untuk segera mendapatkan vaksin.

K Rajakamaran berkata, dia mendapat tahu MBK mengadakan program pemberian vaksin secara 'walk in' dan segera merebut peluang itu.

Dalam pada itu, Mohd Hafisar Sartono, 23, yang sebelum ini tidak berpeluang menerima vaksin pada tarikh yang ditetapkan kerana disahkan positif Covid-19 memanfaatkan peluang itu untuk berbuat demikian.

"Saya mohon untuk tunda tarikh melalui aplikasi MySejahtera namun belum menerima tarikh baharu.

"Memang sebelum ini agak kesal juga kerana ketika orang lain yang sudah terima vaksin lengkap bebas ke sana sini, sudah boleh rentas negeri dan 'dine-in' di kedai makan, saya pula sebaliknya," katanya.

Dia berkata, dia dan isteri mengambil peluang yang disediakan MBK untuk hadir menerima dos pertama.

"Memang sudah tidak sabar untuk lengkapkan vaksin ini supaya dapat kembali menikmati 'kebebasan' seperti yang sudah dikecapi orang lain," katanya.