Buku ‘Siri Titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah’ dilancar

Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah berkenan menunjukkan Buku Siri Titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada majlis pelancaran buku tersebut di Dewan Bahasa dan Pustaka pada Khamis. - Foto Bernama
Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah berkenan menunjukkan Buku Siri Titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada majlis pelancaran buku tersebut di Dewan Bahasa dan Pustaka pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Buku bertajuk ‘Siri Titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah’ yang mengandungi koleksi 36 titah Sultan Nazrin Shah dilancarkan pada Khamis.

Majlis pelancaran buku itu disempurnakan sendiri oleh Sultan Nazrin di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini.

Buku berkenaan telah dipersembahkan kepada Sultan Nazrin yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan.

Buku berkenaan disusun dalam empat bahagian - bahagian satu mengandungi lapan titah mengenai institusi raja, bahagian dua mempunyai tujuh titah mengenai tadbir urus, bahagian tiga dengan 15 titah mengenai Islam dan bahagian empat merangkumi enam titah mengenai masyarakat dan budaya.

Menurut kenyataan DBP yang diedarkan sempena pelancaran buku itu, titah dalam koleksi berkenaan telah dizahirkan antara 9 Ogos 2009 sehingga 5 Oktober 2016 atas kapasiti baginda sebagai Raja Muda Perak (15 April 1987-28 Mei 2014), Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (1 Julai 1997-12 Jun 2014), Pemangku Raja Perak dan mulai 29 Mei 2014 sebagai Sultan Perak ke-35.

Awang dalam sembah ucapan beliau pada majlis itu berkata, titah-titah yang terkandung dalam buku berkenaan mengandungi mesej penting tentang pelbagai isu untuk direnung masyarakat.

Beliau menyifatkan Sultan Nazrin sebagai seorang raja yang sering menzahirkan suara bangsa dari takhta.

“Semangat baginda sentiasa menzahirkan tentang bangsa dan negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini yang juga editor buku berkenaan ketika menjadi moderator wacana ‘Siri Titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah’ berkata, titah baginda mengandungi input dari hati sanubari yang paling ikhlas.

Kelebihan titah Sultan Nazrin adalah ia mengandungi ‘semangat’, katanya ketika mengakhiri wacana yang berlangsung sempena pelancaran buku itu yang turut disaksikan baginda. - Bernama