Pertimbang kenaikan pangkat Allahyarham Mohd Diya

Abdul Wahab
Abdul Wahab
A
A
A

MELAKA - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mempertimbangkan kenaikan pangkat Pegawai Bomba Kanan (PBK) ll, Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh yang meninggal dunia dalam insiden lemas di Kampung Sungai Putat, pada Rabu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, Allahyarham berusia 46 tahun bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah sebelum ini telah dinaikkan pangkat KUP 22 pada Januari 2019.

Menurut Abdul Wahab, sekiranya ada ruang, beliau akan mengetengahkan cadangan pertimbangan kenaikan pangkat kepada Allahyarham Mohd Diya seperti yang telah diberikan kepada anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

"Untuk itu kami akan bawa ke peringkat tertinggi untuk dipertimbangkan (kenaikan pangkat).

"Sekiranya ada ruang Insya ALLAH, sebagaimana yang telah dipertimbangkan untuk arwah Muhammad Adib," katanya kepada pemberita selepas memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyaraham Mohd Diya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Krubong, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Operasi JBPM, Datuk Nor Hisham Mohamad dan Pengarah JBPM Negeri, Persuruhjaya Abu Bakar Katain.

Beliau berkata, dalam kes tersebut, JPBM menubuhkan satu jawatankuasa siasatan dalaman untuk melihat sebarang kekurangan dan kelemahan dalam memastikan insiden seumpama itu tidak berulang.

"JPBM dalam pembinaan satu simulasi penyelamatan di air yang berarus deras sebagaimana pengalaman di Selangor dan kerajaan telah meluluskan pembinaan akademi penyelamatan di air di Wakaf Tapai Marang, Terengganu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu kata beliau, JPBM akan menyampaikan pendahuluan bantuan awal sebanyak RM3,000 dan sumbangan daripada warga bomba termasuk menerusi Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan (TAPPN) kepada keluarga mangsa.

"Anggarannya lebih kurang RM350,000 akan disalurkan kepada keluarga Allahyarham sekali gus diharapkan dapat meringankan sedikit beban mereka.

"Kebajikan keluarga Allahyarham dan keperluan mereka termasuk anak-anaknya yang masih bersekolah," katanya.

Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh meninggal dunia selepas terlibat insiden ketika melakukan kerja-kerja penyelamatan di Sungai Putat, Batu Berendam di sini pada Rabu.

Pegawai Bomba PBK II (KUP) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, itu meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Melaka.