AS sumbang AS$800,000 usaha vaksinasi Covid-19 di Malaysia

- Gambar hiasan
- Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Amerika Syarikat (AS) pada bulan ini telah menyalurkan bantuan tambahan Covid-19 sebanyak AS$800,000 kepada Malaysia untuk membantu usaha negara ini memberi vaksin kepada golongan rentan dan komuniti terpencil.

Bantuan itu juga akan digunakan bagi menyokong kemudahan kuarantin untuk komuniti berkenaan, melindungi Malaysia daripada SARS-CoV-2 dan membantu pemulihan ekonomi negara ini agar terus maju, menurut kenyataan Kedutaan AS di Kuala Lumpur pada Khamis,.

Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) akan menyalurkan bantuan ini di Malaysia, menurut kenyataan itu.

Duta AS ke Malaysia, Brian D. McFeeters turut mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi BSMM Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Setiausaha Agung Hakim Hamzah, atas sokongan berterusan BSMM dalam usaha Malaysia memerangi Covid-19.

"Malaysia telah menjalankan tugas yang luar biasa untuk memberikan suntikan vaksin kepada penduduknya dan bantuan tambahan ini dapat meningkatkan lagi usaha membantu masyarakat rentan," kata McFeeters.

Kenyataan itu turut memetik Tunku Puteri Intan Safinaz sebagai berkata: "Ketika kita berlumba-lumba untuk membendung Covid-19, dana USAID ini sangat penting untuk usaha kita membantu melindungi rakyat daripada penyakit ini, terutama golongan paling rentan.

“Kita sudah berusaha keras hingga ke seluruh pelusuk negara dan kita mesti ingat, tiada siapa yang akan selamat selagi semua sudah selamat. Covid-19 tidak membezakan kaum, agama, etnik atau kewarganegaraan. Terima kasih kepada Duta McFeeters dan USAID kerana menyokong usaha BSMM.

Bantuan ini adalah tambahan kepada lebih daripada US$2 juta bantuan CovidD-19 daripada AS kepada Malaysia sejak wabak ini mula melanda, menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Pada 5 Julai, AS menyumbang sejuta vaksin Pfizer kepada Malaysia selain turut menderma bekalan perubatan, kit ujian Covid-19, ambulans dan banyak lagi.

“AS komited bekerjasama dengan Malaysia bagi menamatkan wabak Covid-19, menangani kesan buruk sosial dan ekonomi, dan membina semula sebuah dunia yang lebih bersedia bagi menghadapi sebarang ancaman wabak pada masa depan.

Komuniti perniagaan di Malaysia menerusi MYAMCHAMCares, turut memperuntukkan RM7 juta kepada usaha bantuan Covid-19 sejak 2020.

“Usaha ini terbina daripada kepemimpinan AS sejak berdekad lama dalam menerajui krisis kesihatan dunia dan menyelamat nyawa,” menurut kenyataan itu.

Sejak enam dekad lalu, bantuan AS menyelamat berjuta-juta nyawa akibat pelbagai penyakit seperti Ebola, HIV/AIDS, batuk kering, malaria, dan kini Covid-19.

Di Malaysia, USAID, Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH) dan Institut Alahan dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NIAD) membiayai pelbagai penyelidikan kritikal bagi membantu meramal dan mencegah penularan wabak sejak sedekad lalu. - Bernama