Covid-19: 6,210 kes positif baharu, lebih 98 peratus kategori satu, dua

Foto fail Bernama
Foto fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 6,210 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Khamis dan angka tersebut menunjukkan peningkatan berbanding 5,516 kes pada Rabu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 98.1 peratus atau 6,094 kes adalah kategori satu dan dua manakala kategori tiga hingga lima pula hanya 1.9 peratus iaitu 116 kes.

Menurutnya, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 adalah 2,413,592.

"Terdapat 42 kes import membabitkan 23 warga asing dan 19 rakyat tempatan manakala bakinya, 6,168 kes adalah merupakan penularan dalam negara.

"Ia melibatkan 5,860 kes positif rakyat tempatan dan 308 warga asing," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, seramai 677 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan 319 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

"KKM turut merekodkan 7,562 kes sembuh sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh 2,303,583," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KKM telah mengenalpasti enam kluster baharu Covid-19 yang melibatkan tiga kluster komuniti, dua kluster tempat kerja dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah keseluruhan kluster adalah 5,705 dan 5,114 daripadanya telah diisytiharkan tamat manakala 591 kluster lagi masih aktif.

"Kadar kebolehjangkitan (Rt) negara menurun kepada 0.86 berbanding sebelum ini, 0.88 dengan Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur merekodkan Rt tertinggi iaitu 1.0.

"Nilai Rt bagi Putrajaya turut menurun kepada 0.99 manakala Sarawak mencatatkan nilai Rt terendah iaitu 0.79," jelasnya.