Hanya bincang isu Covid-19 dengan Sultan Nazrin

Abang Johari
Abang Johari
A
A
A

SRI AMAN - [DIKEMASKINI] Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menjelaskan sesi beliau menghadap Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tidak menyentuh mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 (PRN12) tetapi isu berkait Covid-19.

Abang Johari bagaimanapun tidak menjelaskan secara lanjut mengenai pertemuan tersebut.

“Ya, saya menghadap Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan bertanya berhubung perkara kecemasan Covid-19 itu sahaja, tidak ada apa-apa berhubung pilihan raya negeri,” katanya ketika diminta mengulas laporan media tempatan yang mendakwa Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan pada Khamis.

Abang Johari berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Agensi Pembangunan Sri Aman di sini, pada Khamis.

Ketika ditanya mengenai jangkaan bila pilihan raya negeri akan diadakan, Abang Johari berkata perkara tersebut adalah di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Bukan kuasa saya, kuasa (Yang di-Pertuan) Agong, kalau Agong bertitah untuk pilihan raya, pilihan raya lah. Saya tidak boleh memberitahu secara terperinci sebab itu bukan kuasa saya,” tegasnya.

Semalam, media tempatan melaporkan ada kemungkinan DUN Sarawak dibubar pada Khamis (21 Oktober 2021) bagi memberi laluan untuk PRN12.

Ogos lalu, perintah darurat dikuatkuasakan di Sarawak bagi membendung penularan Covid-19 susulan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak sekali gus menyebabkan PRN12 tidak boleh diadakan meskipun tempoh DUN tamat Jun lepas.

Artikel Berkaitan:

Perintah Darurat di Sarawak dijadual tamat pada 2 Feb 2022. -Bernama