Kementerian Pendidikan nafi 45,000 bakal hilang kerja

fb: Kenyataan Kosppem Pahang itu satu dakwaan yang tidak berasas sama sekali dan mencetuskan persepsi negatif mengenai kementerian Pendidikan dalam kalangan rakyat - kementerian

No Image Caption
A
A
A
PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan menafikan dakwaan Persatuan Kontraktor-kontraktor Bumiputera Sisa Pepejal dan Pembersihan (Kosppem) Pahang bahawa seramai 45,000 pekerja pembersihan bangunan dan kawasan sekolah diseluruh negara berhadapan dengan ancaman kehilangan pekerjaan.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan, kenyataan Kosppem Pahang itu satu dakwaan yang tidak berasas sama sekali dan mencetuskan persepsi negatif mengenai kementerian Pendidikan dalam kalangan rakyat.

"Kementerian pendidikan dari semasa ke semasa akan mengkaji syarat dan kriteria tender bagi memastikan kementerian, khususnya pihak sekolah mendapat perkhidmatan yang terbaik dan selaras dengan dasar mengoptimumkan sumber kewangan kerajaan semasa.

"Sebagaimana pernah diamalkan pada masa-masa yang lalu, kementerian menambahbaik format tender bagi tahun 2019 dengan mengambil kira keluasan kawasan, bilangan blok bangunan, jumlah aras keseluruhan bangunan dan bilangan kubikal tandas yang terdapat di setiap sekolah berbanding norma terdahulu yang hanya mengambil kira enrolmen pelajar dan keluasan bangunan," katanya.

Semalam, sebuah akhbar melaporkan nasib seramai 45,000 orang pekerja syarikat pembersihan berisiko hilang kerja selepas Kementerian Pendidikan mengkaji semula format tender baharu.

Sehubungan itu, KPM juga ingin menegaskan bahawa penyertaan kontraktor dalam tender tender adalah mengikut harga yang ditawarkan dengan spesifikasi yang telah ditetapkan, dan bukannya bertujuan mengurangkan pekerja-pekerja yang digunakan oleh syarikat yang memperoleh tender kontrak.

"Adalah menjadi tanggungjawab majikan iaitu syarikat yang mendapat kontrak perkhidmatan untuk memastikan kebajikan pekerja-pekerja mereka terus terjamin dan dipelihara.

"Memandangkan penyertaan dalam tender adalah mengikut harga yang ditawarkan, maka adalah tidak adil untuk menganggap KPM bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pekerja pekerja yang diambil untuk bekerja oleh syarikat-syarikat yang menerima tawaran kontrak daripada kementerian," katanya.

Kementerian Pendidikan menegaskan bahawa penawaran kontrak baharu, yang akan dibuat dalam waktu terdekat, bagi perkhidmatan pembersihan adalah berdasarkan kepada skop dan spesifikasi yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak iaitu syarikat yang dilantik dan juga kementerian.
Artikel Berkaitan:


"Sebagai sebuah Kementerian yang bertanggungjawab, Kementerian Pendidikan tidak pernah menganiaya mana-mana pihak. Kementerian juga prihatin ke atas kebajikan pekerja-pekerja terbabit, dan oleh itu sekali lagi menasihatkan syarikat-syarikat yang bakal memperoleh kontrak kerja-kerja pembersihan dari pada kementerian agar turut memastikan kebajikan pekerja masing-masing dijaga.

"Kementerian juga sentiasa melaksanakan penambahbaikan norma secara berperingkat bagi memastikan semua pihak iaitu kerajaan, kementerian dan syarikat-syarikat terbabit mendapat faedah terbaik daripada kontrak perkhidmatan kebersihan bangunan dan kawasan yang dilaksanakan," jelasnya.