Usahawan pelancongan Islam digesa tingkat kefahaman aspek halal

- Gambar hiasan
- Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Usahawan dalam segmen pelancongan Islam perlu meningkatkan kefahaman berkaitan aspek halal bagi membolehkan mereka mengenal pasti unique selling point (USP) pada produk pelancongan masing-masing.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ini seterusnya akan turut memberi jaminan bahawa produk yang diusahakan mereka tidak melanggar syariat Islam.

Selain itu, bagi menarik lebih ramai usahawan menceburi segmen pelancongan Islam, Nancy juga menggalakkan kerjasama antara Pusat Pelancongan Islam (ITC) dan Jabatan Standard Malaysia dalam membangunkan garisan panduan dan standard jelas berkaitan produk dan perkhidmatan pelancongan Islam.

"Ini agar usahawan baharu dan sedia ada dapat terus dibantu selain meningkatkan standard kualiti dalam pelancongan Islam dan produk-produk yang dihasilkan ini juga akan mampu bersaing dan menandingi kualiti produk pelancongan yang lain,” katanya dalam ucaptama pada Seminar Keusahawanan dan Kepimpinan Pelancongan Islam secara maya pada Khamis.

Nancy berkata, skop pelancongan Islam adalah luas merangkumi produk dan perkhidmatan berciri Islam, hospitaliti dan penginapan mesra Muslim namun penerokaannya masih lagi di peringkat awal, justeru mendedahkan usahawan dengan peluang-peluang perniagaan baharu.

Beliau berkata, penerokaan perniagaan-perniagaan baharu penting, mengambil kira laporan Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2021 yang menjangkakan pelancong Muslim akan mencecah 26 juta hujung tahun ini sekiranya sempadan negeri dan antarabangsa dibuka.

"Laporan sama turut menjangkakan pasaran pelancongan Muslim pada 2023 pulih hingga 80 peratus. Melihat kepada prestasi pelancongan Islam yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi pasca Covid-19, secara tidak langsung menggambarkan peluang besar telah tersedia bagi usahawan perniagaan dan golongan muda yang ingin menceburi pasaran segmen pelancongan Islam," katanya.

Nancy berkata, sebelum pandemik Covid-19 pada 2019, jumlah ketibaan pelancong Muslim ke Malaysia adalah seramai 5.3 juta orang dengan perbelanjaan pelancongan sebanyak RM16.72 bilion sekali gus membolehkan Malaysia dinobat sebagai negara terbaik bagi sektor Pelancongan Mesra Muslim sejak 2011 oleh DinarStandard dan CrescentRating. - Bernama

Artikel Berkaitan: