Buruh dijel 10 tahun, 10 sebatan miliki dadah

Azmi (tengah) dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, pada Khamis selepas mengaku salah memiliki dadah dua tahun lalu.
Azmi (tengah) dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, pada Khamis selepas mengaku salah memiliki dadah dua tahun lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Perbuatan seorang buruh memiliki dadah jenis methamphetamine dua tahun lalu membawa padah apabila dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis.

Hakim Dazuki Ali menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Azmi Ismail, 44, dari Bukit Payong, Marang mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan, Azmi didakwa mempunyai kawalan terhadap dadah jenis methamphetamine seberat 67.43 gram di sebuah kandang kambing di Kampung Mak Kemas, Bukit Payong, Marang, kira-kira jam 9.30 malam, pada 14 Ogos 2019.

Azmi didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Hafizuddin Manjur Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam belaa, Mohd Hayyatuddin Muhamad.

Mohd Hayyatuddin sebelum itu memohon agar Azmi dikenakan hukuman ringan memandangkan anak guamnya itu membuat pengakuan bersalah sekali gus menjimatkan masa serta kos mahkamah.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pemeriksaan polis di kandang kambing berkenaan menemui sejumlah 198 biji pil berwarna merah dan dua biji berwarna hijau disyaki dadah jenis methamphetamine yang diletakkan di dalam satu beg sandang berwarna hitam.

Artikel Berkaitan:

Turut ditemui di dalam beg yang diletakkan di atas lantai kandang kambing berkenaan ialah wang berjumlah RM1,800 disyaki hasil jualan dadah dan sebuah telefon bimbit jenama Oppo.