Malaysia perlukan transformasi digital inklusif: Annuar

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia memerlukan transformasi digital yang inklusif untuk mencapai ekonomi digital yang berdaya maju, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Bercakap pada Sidang Kemuncak Ekonomi Digital Malaysia Ke-2 yang diadakan secara maya pada Khamis, beliau berkata, negara mempunyai kapasiti untuk menjadikan krisis Covid-19 sebagai peluang baharu untuk membina masa depan yang lebih inklusif, berdaya tahan dan mampan.

“Kita kini dalam normal baharu. Oleh itu, kesalinghubungan perlu menjadi keutamaan, dan pihak berkepentingan seperti syarikat telekomunikasi dan industri vertikal, syarikat multinasional, organisasi kerajaan dan bukan kerajaan perlu membangunkan strategi untuk mempercepatkan penyertaan digital,” katanya.

Annuar menjelaskan, ekonomi digital memainkan peranan penting untuk Malaysia memperoleh semula daya saingnya, menyedari bahawa penggunaan teknologi dan inovasi akan menjadi teras untuk memacu pertumbuhan dalam semua sektor.

Penggunaan teknologi maju, terutamanya teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0), akan digalakkan dalam ekonomi berasaskan teknologi tinggi, katanya, sambil menambah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) menyasarkan untuk memaksimumkan potensi ekonomi digital.

“Tenaga kerja dan kemahiran yang diperlukan untuk memacu ekonomi digital dan IR 4.0 akan dipertingkatkan manakala penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi akan diperkukuh,” katanya.

Annuar juga menjelaskan, inisiatif MyDIGITAL yang dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melengkapkan RMK12 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Ekonomi digital dijangka menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2025 dan mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

Inisiatif MyDIGITAL juga akan menjadi titik permulaan untuk menarik pelaburan baharu bernilai RM70 bilion dalam sektor digital, dari dalam dan luar negara.

Sidang Kemuncak Ekonomi Digital Malaysia Ke-2 pada tahun ini dianjurkan oleh KSI Strategic Institute for Asia Pacific.

Bertemakan “Reinventing the Digital Economy: The Key to Success Post-Crisis”, lebih 200 wakil dari sektor kerajaan dan swasta, ahli akademik, persatuan dan industri digital menyertai sidang kemuncak secara maya itu. - Bernama