JKNK serbu empat premis, rampas produk RM720,402

Dr Zaini
Dr Zaini
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) merampas produk tidak berdaftar, kosmetik tidak bernotifikasi dan produk disyaki mengandungi racun berjadual yang dianggarkan bernilai RM720,402 dalam serbuan ke atas empat buah premis di sekitar kawasan ini pada Rabu.

Serbuan secara serentak itu dilakukan oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Kelantan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

Pengarah JKNK Kelantan, Datuk Dr Zaini Husin berkata, kesemua premis yang diserbu dalam operasi itu menjalankan perniagaan secara dalam talian menggunakan platform e-dagang bagi memasarkan produk keluaran mereka.

"Menerusi operasi itu, CPF Kelantan merampas 293 produk tidak berdaftar, lapan kosmetik tidak bernotifikasi dan empat produk disyaki mengandungi racun berjadual," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Menurutnya, turut dirampas ialah lapan buah peranti digital yang dipercayai digunakan bagi penjualan secara dalam talian.

Beliau berkata, JKNK memandang serius tentang kegiatan pengilangan, pengedaran dan penjualan produk kesihatan khususnya ubat tidak berdaftar, kosmetik tidak bernotifikasi dan ubat campur palsu di negeri ini.

Dr Zaini berkata, JKNK mengambil inisiatif dengan membuat pemeriksaan dan menggempur setiap premis pengilangan, pengedaran dan penjualan secara langsung dan dalam talian bagi memastikan produk itu mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Individu yang disabitkan kesalahan di bawah peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Artikel Berkaitan:

"Syarikat yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya," katanya.

Menurutnya, sehingga September ini CPF Kelantan telah merampas pelbagai jenis ubat tidak berdaftar, kosmetik tidak bernotifikasi dan produk kesihatan yang dicemari racun berjadual bernilai lebih RM1.8 juta.

Beliau berkata, JKNK ingin menasihatkan orang awam supaya sentiasa berhati-hati sewaktu membuat pembelian secara dalam talian.

Katanya, pengguna perlu memastikan produk yang ingin dibeli berdaftar dengan KKM dan mempunyai nombor notifikasi.

"Produk berdaftar mempunyai nombor pendaftaran MAL dan pelekat label Hologram FarmaTag pada bungkusannya," katanya.

Dr Zaini berkata, pengguna boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk dan kosmetik dengan melayari https://www.npra.gov.my atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-7883 5400 atau memuat turun aplikasi NPRA Product Status secara percuma melalui Play Store, App Store dan Huawei App Gallery.