Pusat Santuari Gajah tarikan pelancongan baharu di Johor

Sultan Ibrahim (kanan) berkenan menerima menghadap Aminuddin (kiri) dan Hazlina di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi pada Khamis.
Sultan Ibrahim (kanan) berkenan menerima menghadap Aminuddin (kiri) dan Hazlina di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, Pusat Santuari Gajah di Kota Tinggi mampu menjadi produk pelancongan baharu di negeri ini.

Menerusi muat naik di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Khamis, baginda bertitah, pembukaan Pusat Santuari Gajah itu juga berupaya meningkatkan kualiti habitat haiwan berkenaan.

Sebelum itu, baginda berkenan menerima menghadap Pegawai Daerah Kota Tinggi, Hazlina Jalil dan Pengarah Perhilitan Johor, Aminuddin Jamin di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi pada Khamis.

Pada pertemuan itu, Aminuddin turut mempersembahkan taklimat pelaksaaan dan perkembangan penyelarasan Projek Santuari Gajah Johor kepada Sultan Ibrahim.

Menurut Aminuddin, tujuan pembinaan pusat berkenaan antara lain bagi memperkasakan pengurusan gajah di Johor dengan mengurangkan masalah gangguan gajah-gajah liar di kawasan pertanian serta penempatan.

Santuari itu turut berperanan menyediakan peluang aktiviti berasaskan eko-pelancongan lestari dan mampu menjana sosioekonomi penduduk setempat.

Jelas Aminuddin, komponen pembangunan yang telah disiapkan dalam fasa 1 meliputi padok gajah, padang ragut, jambatan, jalan masuk utama, bangunan pentadbiran, serta berek pekerja.

Beliau turut mempersembahkan taklimat pelaksanaan pembangunan fasa 2 Pusat Santuari Gajah (2020-2025) antara lain merangkumi aktiviti kemudahan pelawat, pemantauan pagar elektrik serta kelengkapan sistem amaran awal, pembangunan landskap serta program bersama penduduk setempat.

Artikel Berkaitan:

Kemudahan dataran pelawat antara lain menempatkan surau, kedai cenderahati, kafe, laluan siar kaki, mercu tanda, taman permainan, wakaf dan pelbagai lagi.

Pusat berkenaan dijangka dibuka kepada orang awam selepas berakhirnya fasa 2 pada tahun 2025, bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pelawat yang berkunjung.