Mengaku tinggal di istana, dua ahli perniagaan didakwa

Mohamad Halmi (kiri) dan Affendy mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberikan maklumat palsu bahawa alamat tempat tinggal adalah di kediaman Diraja Istana Kinta di Ipoh ketika membuat permohonan gantian kad pengenalan diri, enam tahun lalu.
Mohamad Halmi (kiri) dan Affendy mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberikan maklumat palsu bahawa alamat tempat tinggal adalah di kediaman Diraja Istana Kinta di Ipoh ketika membuat permohonan gantian kad pengenalan diri, enam tahun lalu.
A
A
A

IPOH - Dua ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis atas pertuduhan memberikan maklumat palsu bahawa alamat tempat tinggal adalah di kediaman Diraja Istana Kinta di Ipoh ketika membuat permohonan gantian kad pengenalan diri, enam tahun lalu.

Tertuduh, Mohamad Halmi Warajemini, 55, yang menetap di Johor Bahru dan Affendy Abdul Aziz, 49, dari Subang Jaya masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh yang merupakan kenalan itu telah memberikan maklumat palsu dalam butiran material kad pengenalan bahawa alamat penuh tempat kediaman mereka dalam Malaysia adalah kediaman Diraja Istana Kinta di Ipoh di mana telah diketahui bahawa maklumat tersebut adalah palsu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak di Pasar Besar Ipoh, Jalan Dato' Onn Jaafar, Ipoh dalam daerah Kinta pada 26 Oktober 2015.

Mereka didakwa di bawah Subperaturan 25(1)(b) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Sally Chay Mei Ling menawarkan jaminan RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin atas alasan kesalahan serius dilakukan kerana kedua-dua tertuduh sebenarnya tidak mempunyai ahli keluarga dan alamat tetap di Perak.

Kedua-dua tertuduh yang diwakili Peguam Mohamad Salihen Mastor dalam rayuan memohon mahkamah mengenakan jumlah jaminan yang minima berikutan perlu menanggung keluarga selain tidak mempunyai pendapatan tetap.

Mohamad Halmi yang juga sukarelawan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menanggung isteri yang tidak bekerja dan dua anak masih bersekolah, manakala Affendy yang menjual produk kesihatan mempunyai tanggungan 10 anak.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudiannya menetapkan RM6,000 sebagai jaminan kepada setiap tertuduh dan memerintahkan Mohamad Halmi melaporkan diri sekali sebulan di Balai Polis Kempas manakala Affendy di Balai Polis Subang Jaya.

Mahkamah turut menetapkan 8 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Pada 12 Julai lepas, Mohamad Halmi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan mempamerkan gelaran 'Darjah Seri Paduka Mahkota Perak' di kenderaan jenis Proton X70 tanpa kebenaran bertulis daripada Sultan Perak pada 4 Jun lalu kira-kira jam 4 petang di Jalan Caranday Park Setia Tropika, Johor Bahru.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17 Akta Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anugerah 2017 (Akta 787), dibaca bersama Seksyen 3(1)(d) Enakmen Lambang, Gelaran Dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Perak 2016 (Enakmen 12).

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh didenda antara RM250,000 hingga RM500,000 atau dipenjarakan antara setahun hingga lima tahun atau kedua-duanya.