Angkut 14,950 karton rokok, lelaki dipenjara dua tahun

Ming Horng dijatuhi hukuman dua tahun penjara selepas didapati bersalah mengangkut 14,950 karton pelbagai jenama rokok di Mahkamah Majistret Kemaman, pada Khamis.
Ming Horng dijatuhi hukuman dua tahun penjara selepas didapati bersalah mengangkut 14,950 karton pelbagai jenama rokok di Mahkamah Majistret Kemaman, pada Khamis.
A
A
A

KEMAMAN - Seorang lelaki dijatuhkan hukuman dua tahun penjara dan diperintahkan membayar cukai RM454,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, pada Khamis selepas didapati bersalah mengangkut 14,950 karton rokok pelbagai jenama menggunakan sebuah lori, pada Ogos dua tahun lalu.

Tertuduh, Soo Ming Horng, 34, turut berdepan empat bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan bayaran cukai berkenaan.

Majistret Tengku Eliana Kamaruzaman membuat keputusan itu selepas tertuduh didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengangkut barang larangan Kastam iaitu 4,950 karton rokok jenama Luffman; 8,000 karton rokok jenama Touro; 1,920 karton jenama Impact dan 80 karton jenama Luffman Classic yang ditaksirkan bernilai RM221,704 melibatkan cukai sejumlah RM454,000 yang mana barang-barang tersebut adalah barang dilarang pengimportannya di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import)(Pindaan) 2017.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dengan menggunakan lori jenis Hino pada 30 Ogos 2019 lebih kurang jam 3 pagi, di Jalan Masuk Plaza Tol Kerteh, di sini dengan disedari mengangkut barang larangan kastam.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan dibawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum dibawah seksyen 135(1)(v)(aa) Akta yang sama.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(v)(aa) Akta Kastam 1967, tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang RM 2,217,040 hingga tidak lebih RM 4,434,080 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh perlu membuat pembayaran cukai di bawah Seksyen 119A(1) Akta Kastam 1967 berjumlah RM 454,000 kepada Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh juga diperintahkan membayar kos pendakwaan RM5,000 dan sekiranya gagal berbuat demikian, tertuduh berdepan dua bulan penjara.

Berkait kesemua barang kes iaitu di bawah Seksyen 127(1) Akta Kastam 1967, mahkamah mengarahkan kesemua 14,950 karton rokok pelbagai jenama dan sebuah lori jenis Hino dilupuskan oleh pihak Jabatan Kastam selepas tamat tempoh rayuan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia manakala tertuduh diwakili peguam, Tetuan Chan Tee Yuen & Co.

Majistret Tengku Eliana mengarahkan hukuman penjara bermula pada tarikh sabitan, bagaimanapun tertuduh terpaksa memilih hukuman penjara tambahan selepas mengakui gagal menjelaskan pembayaran cukai dan kos pendakwaan yang dikenakan.