Neelofa, suami hantar representasi tarik balik pertuduhan

Neelofa dan suami tiba di Kompleks Mahkamah Seremban kira-kira jam 9 pagi.
Neelofa dan suami tiba di Kompleks Mahkamah Seremban kira-kira jam 9 pagi.
A
A
A

SEREMBAN - Peguam yang mewakili selebriti dan usahawan terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor dan suami, Muhammad Haris Mohd Ismail telah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah kedai karpet di Nilai, Mei lalu.

Perkara itu dimaklumkan peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili pasangan itu selepas prosiding pengurusan kes tersebut di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.

Beliau berkata, satu salinan representasi telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada Rabu dan pada Khamis kepada pihak pendakwaan.

"Kami memohon kepada Peguam Negara untuk menggunakan budi bicara menarik balik pertuduhan terhadap anak guam kami.

"Ini kerana kita merasakan pertuduhan-pertuduhan yang dibawa terhadap anak guam saya ini pada asasnya bukanlah suatu kesalahan di bawah kesalahan yang dituduh," katanya.

Menurut beliau, pihak pembelaan telah diberi masa selama sebulan untuk mendapatkan maklum balas daripada pihak Jabatan Peguam Negara.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Aling dalam prosiding mahkamah memaklumkan bahawa pihak pendakwaan juga telah menerima representasi daripada pihak pembelaan di Mahkamah Majistret di sini Khamis.

"Pihak pendakwaan memerlukan masa satu bulan mengkaji representasi oleh OKS (Orang Kena Siasat)," katanya pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Majistret, Mohd Firdaus Saleh kemudian menetapkan 1 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.

Neelofa, 32, berjubah putih dan Muhamad Haris, 26, berpakaian sut lengkap sebelum itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Seremban kira-kira jam 9 pagi.

Media sebelum ini melaporkan pasangan selebriti itu mengaku tidak bersalah melanggar SOP PKPB ketika didakwa di Mahkamah Majistret Seremban pada 20 Mei lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka ketika berada di sebuah premis menjual permaidani di Nilai 3 di sini pada 2 Mei lalu.

Kedua-dua mereka dituduh di bawah Peraturan 19, Peratutan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.