Sembilan PPS di Melaka dibuka tempatkan 590 mangsa banjir

Anggota APM memasang khemah bagi menempatkan mangsa banjir di daerah Alor Gajah.
Anggota APM memasang khemah bagi menempatkan mangsa banjir di daerah Alor Gajah.
A
A
A

MELAKA - Sebanyak sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di Melaka dibuka bagi menempatkan 590 mangsa banjir berikutan hujan lebat sejak petang Rabu.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, bilangan itu membabitkan 155 buah keluarga sejak PPS dibuka jam 5.30 petang Rabu.

Menurutnya, daripada jumlah itu, di daerah Melaka Tengah yang menempatkan seramai 119 penduduk telah dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Krubong, 103 individu ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir dan selebihnya di SK Batu Berendam 2.

Menurut beliau, di daerah Jasin, 94 individu ditempatkan di SK Tehel, 80 mangsa di SMK Seri Bemban dan lapan mangsa banjir di SMK Dang Anum.

"Di daerah Alor Gajah pula, 76 individu ditempatkan di SK Durian Tunggal, 68 mangsa di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Wah dan tujuh mangsa ditempatkan di Balai Raya Kampung Gadek tujuh mangsa.

"Sehingga jam 8 pagi terdapat 41 kawasan terjejas dalam bencana berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan hujan lebat berterusan lebih empat jam telah mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan di daerah Jasin, Melaka Tengah, dan Alor Gajah pada Rabu.

Hujan bermula jam 1 petang turut menyebabkan berlaku takungan air dan beberapa laluan terpaksa ditutup.

Artikel Berkaitan:

Antara kawasan yang dinaiki air termasuklah Ayer Keroh, Krubong, Kampung Sungai Putat, Asam Kumbang Bemban Jasin, Jasin Bestari, Kampung Padang Keladi dan Bukit Tambun Alor Gajah.