Salah guna permit, 213 buruh binaan asing ditahan

Seramai 213 buruh warga asing ditahan dalam serbuan ke atas dua tapak pembinaan terletak berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sri Rampai, Wangsa Maju di sini pada Rabu.
Seramai 213 buruh warga asing ditahan dalam serbuan ke atas dua tapak pembinaan terletak berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sri Rampai, Wangsa Maju di sini pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia menahan seramai 213 buruh binaan warga asing dalam serbuan ke atas dua tapak pembinaan yang terletak berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan(LRT) Sri Rampai, Wangsa Maju di sini pada Rabu.

Tinjuan Sinar Harian mendapati, kebanyakan buruh asing terbabit didaftarkan di bawah majikan yang berbeza malah ada yang memiliki permit kerja di sektor pertanian sebaliknya mereka bekerja di tapak pembinaan tersebut.

Lebih merumitkan apabila kontraktor utama sendiri tidak mengetahui status permit kerja kebanyakan buruh yang dibawa masuk oleh sub-kontraktor yang bekerja di tapak pembinaan berkenaan.

Imigresen Malaysia dalam satu kenyataan berkata, seramai 213 buruh binaan warga asing terdiri daripada 210 lelaki dan tiga wanita ditahan selepas didapati terlibat dalam pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen dalam operasi bersepadu tersebut.

"Kesemua yang ditahan terdiri daripada 172 warga Bangladesh diikuti Indonesia (20 orang), Pakistan (10 orang), Vietnam (enam orang), India (tiga orang) dan Myanmar (dua orang).

"Antara kesalahan dilakukan ialah mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/1963 dan Perkara 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen," menurut kenyataan di akaun Facebook rasmi Imigresen Malaysia pada Rabu.

Menurutnya, seramai 254 buruh asing diperiksa dalam operasi yang dijalankan dengan kerjasama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu.

Tambahnya, kesemua pekerja warga asing yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan: