X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Tangani isu kebolehpasaran graduan

Pandemik yang melanda dunia termasuk Malaysia juga menyebabkan pelbagai usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan menjadi sedikit perlahan.
A
A

ISU kebolehpasaran graduan sering dibincangkan dalam landskap pendidikan tinggi negara berikutan masalah pengangguran siswazah, ketidakpadanan bidang kelulusan dengan permintaan industri dan sikap segelintir lulusan universiti terlalu memilih pekerjaan.

Pandemik yang melanda dunia termasuk Malaysia juga menyebabkan pelbagai usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan menjadi sedikit perlahan, malah Kajian Pengesanan Graduan 2020 yang dilaksanakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan menurun 1.8 peratus iaitu 84.4 peratus tahun lalu berbanding 86.2 peratus pada 2019.

Justeru, Pelancaran Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pada 16 Oktober lalu dilihat akan kembali merancakkan aktiviti kebolehpasaran graduan di institusi pendidikan tinggi (IPT) di Malaysia bagi tempoh lima tahun akan datang.

Pelan yang merupakan kesinambungan daripada The National Graduate Employability Blueprint 2012-2017 itu dibangunkan untuk memberikan panduan penyelesaian segera kepada IPT awam dan swasta agar dapat menyediakan graduan berkualiti yang boleh memasuki pasaran kerja dan akhirnya menyumbang kepada ekonomi negara.

Menggariskan empat strategi utama – pengukuhan kecemerlangan bakat, peluasan kerjaya pelajar, pemantapan PdP dan pemerkasaan hubungan industri, ia bertujuan menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran buruh, sekali gus membantu IPT melahirkan graduan yang sentiasa relevan.

Pelan itu turut menekankan elemen pengukuhan kerjasama dalam bidang pembangunan akademik dan kebolehpasaran graduan yang berimpak tinggi melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.

Bagi penulis, keputusan KPT melancarkan pelan strategik itu menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa memberikan perhatian untuk menyelesaikan masalah berkaitan graduan sejajar dengan perubahan teknologi termasuk Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

Graduan hari ini boleh dikatakan bertuah kerana kerajaan turut menyediakan pelbagai portal pencarian pekerjaan bagi memudahkan mereka mencari kerja dan membuat padanan kelayakan serta jawatan bersesuaian berdasarkan keperluan industri.

Malah, KPT turut membangunkan portal sehenti iaitu Graduates Reference Hub for Employment and Training (GREaT) bagi memudahkan graduan dan bakal graduan.

Tidak cukup dengan itu, KPT mengambil langkah meluaskan fungsi Portal GREaT dengan membangunkan Modul Pemadanan Pekerjaan ([email protected]) melibatkan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Menerusi portal tersebut, data graduan yang diambil daripada pangkalan data Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) akan dipadankan dengan kekosongan jawatan yang terdapat di industri atau syarikat yang berdaftar dalam modul [email protected]

Meskipun pelbagai usaha dibuat oleh kerajaan bagi menangani isu kebolehpasaran graduan dan masalah pengangguran siswazah, masih ada cakap-cakap yang mengatakan golongan berkenaan tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berwajib.

Penulis berpendapat biar apa pun usaha dibuat di peringkat kerajaan, universiti atau pemegang taruh yang lain, ia perlu disertakan dengan keinginan graduan itu sendiri untuk bersungguh-sungguh mengubah nasib dalam mendapatkan pekerjaan.

Tidak guna kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif jika graduan masih memilih untuk berada dalam zon selesa seperti bekerja di negeri kelahiran sendiri atau memilih pekerjaan berdasarkan jawatan dan tangga gaji yang diinginkan.

Graduan juga disarankan melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran terkini termasuklah dalam bidang digital supaya ia selari dengan pasaran pekerjaan yang lebih menjurus kepada penggunaan teknologi dan telekomunikasi.

Apa pun, terpulang kepada graduan itu sendiri bak kata pepatah hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Buatlah pilihan bijak supaya tidak ketinggalan dalam arus pemodenan teknologi hari ini dan sentiasa memperbaiki diri agar mampu menyumbang kepada perkembangan ekonomi diri sendiri, keluarga, syarikat dan negara.

* Nor Azma Muhamat Laila ialah Wartawan GPSBestari, Sinar Harian.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!