X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 16 Mei 2022

Wajarkah de Paula diberi ‘talian hayat’ terakhir

De Paula. -Gambar fail/FAM
A
A

BERBAKI kira-kira dua bulan sebelum saingan Piala Suzuki AFF 2020 berlangsung penghujung tahun ini, pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sibuk mencongak barisan pemainnya yang akan dibawa ke Singapura.

Cheng Hoe pastinya ‘pening kepala’ untuk membentuk skuad terbaik ketika peminat dan penyokong bola sepak tanah air sekali lagi mengharapkan Harimau Malaya bergelar ‘sang juara’ selepas sekadar muncul naib juara pada edisi 2018.

Dalam mencari ramuan terbaik sebagai bekalan ke Singapura, kelibat penyerang naturalisasi, Guilherme de Paula sudah tentu mendapat perhatian lebih daripada Cheng Hoe. Suka atau tidak, Cheng Hoe harus memantau rapat gerak geri de Paula.

Apa tidaknya, de Paula menjadi mangsa kecaman peminat dan penyokong Harimau Malaya susulan prestasi hambarnya setakat ini. Malah, mereka berpendapat de Paula hanya watak ‘tempelan’ dalam skuad Harimau Malaya.

Pernah dianggap antara penyerang prolifik Liga Malaysia (Liga-M) sebelum ini, de Paula berjaya meledak gol sulung ketika Harimau Malaya tewas 1-4 dalam perlawanan latihan berdepan Kuwait pada hujung Mei lalu.

Bagaimanapun, malang buat de Paula apabila dia gagal menjelmakan impak positif sepanjang kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun lalu. Dia hanya menyumbat satu gol menerusi sepakan penalti ketika Harimau Malaya tewas 1-2 kepada Vietnam.

Kempen kelayakan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu mungkin boleh dianggap sebagai detik hitam buat de Paula apabila harapan besar penyokong Harimau Malaya berubah sekelip mata apabila dia dikritik teruk khususnya di media sosial.

Prestasi ‘biasa-biasa’ de Paula dalam aksi persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan di Amman baru-baru ini terus menghangatkan lagi perdebatan dalam kalangan penyokong Harimau Malaya. Boleh dikatakan saban hari de Paula menjadi mangsa kritikan.

Umpama bola di kaki Cheng Hoe, kini terpulang kepada bekas pengendali Kedah itu sama ada mahu memberi ‘talian hayat’ terakhir kepada de Paula atau tidak dibawa bersama skuad Harimau Malaya ke Singapura nanti.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!