AFC: Pusingan ketiga kelayakan Piala Asia secara karnival

Foto Football Association of Malaysia
Foto Football Association of Malaysia
A
A
A

KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada tahun depan akan diadakan secara berpusat dan semua perlawanan mengikut format single round robin.

Badan induk itu dalam satu kenyataan berkata, pusingan tersebut akan diadakan pada tiga tarikh yang telah ditetapkan iaitu 8, 11 dan 14 Jun 2022.

“Kelayakan akhir Piala Asia 2023 akan ditukar daripada format home dan away kepada single round robin serta akan dilangsungkan di gelanggang berkecuali.

“Keputusan ini telah dibuat oleh AFC dengan mengambil kira cabaran-cabaran yang ada disebabkan oleh pandemik Covid-19, sambil mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan semua pihak yang berkepentingan menjelang kejohanan peringkat akhir di China dari 16 Jun hingga 16 Julai 2023,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, AFC juga akan membuka bidaan kepada mana-mana negara yang berminat untuk menjadi tuan rumah kepada aksi pusingan ketiga kelayakan tersebut.

“Sama seperti bidaan untuk menjadi tuan rumah seperti semua kejohanan AFC pada tahun ini, syarat-syarat ketat perlu dipatuhi untuk memastikan kesihatan dan keselamatan menjadi keutamaan.

“Ia termasuk had minimum perjalanan dan kuarantin untuk semua pasukan yang mengambil bahagian, kemudahan penerbangan ke negara tuan rumah, perubatan dan tempat yang mencukupi untuk perlawanan berlangsung.

“Apa yang paling penting ialah ujian Covid-19 wajib diatur untuk semua pemain dan pegawai semasa ketibaan dan sepanjang pertandingan berlangsung di bawah bimbingan AFC,” katanya.

Artikel Berkaitan: