Lapan ditahan tunggang basikal lajak secara berbahaya

Rupiah Abd Wahid
Rupiah Abd Wahid
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Johor Bahru Utara menahan lapan penunggang basikal lajak kerana menunggang secara berbahaya di dua lokasi di daerah ini pada 15 dan 16 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, penunggang yang ditahan menerusi operasi khas basikal lajak itu berusia 10 hingga 15 tahun.

"Mereka ditahan bersama-sama basikal lajak yang ditunggang dan selepas disyaki menunggang dengan aksi berbahaya secara berkumpulan di dua lokasi berbeza. Turut disita dua motosikal yang terlibat dalam kegiatan itu.

"Pemeriksaan mendapati banyak basikal telah diubah suai dan tidak mengikut spesifikasi basikal yang selamat untuk ditunggang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Katanya, semua penunggang dan basikal dibawa ke Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan untuk siasatan lanjut.

Katanya, soal siasat mendapati seorang daripada mereka yang merupakan remaja berusia 15 tahun berperanan sebagai mekanik basikal lajak.

"Ramai rakan basikal lajak yang datang ke rumahnya untuk membaiki dan menukar alat ganti daripadanya. Hasil pemeriksaan di rumahnya juga menemui komponen-komponen basikal lajak," katanya.

Menurutnya, semua penjaga dan ibu bapa kepada semua yang ditahan sudah dipanggil serta diberi penerangan mengenai bahaya basikal lajak dan kesan kepada penunggang sekiranya berlaku kemalangan.

Artikel Berkaitan:

Menerusi operasi itu katanya, lapan basikal lajak dirampas untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 112 (3) Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987 dan penunggang basikal pula disaman mengikut 42(1) (A) LN 166/59 Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959 kerana ubah suai basikal.

Tambahnya, dua saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal mengikut Seksyen 26 (1) APJ 1987 kerana tiada lesen memandu dan dua buah motosikal turut disita di bawah Seksyen 64 APJ 1957 serta satu saman di bawah Kaedah 4 Kaedah-kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973 kerana tidak memakai topi keledar.