Peningkatan R-naught di NS, MB ingatkan masyarakat patuh SOP

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Rakyat di Negeri Sembilan serta pelancong dari luar diingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengurangkan penularan Covid-19 seterusnya menurunkan kadar kebolehjangkitan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pematuhan itu perlu susulan peningkatan kebolehjangkitan (R-naught) Covid-19 di negeri itu kepada 1.04 dua hari lepas.

Beliau tidak menolak kemungkinan peningkatan kadar kebolehjangkitan itu berpunca daripada kehadiran orang ramai terutama di kawasan tumpuan pelancong selain aktiviti ziarah keluarga yang dibenarkan sejak 11 Oktober lepas.

"Walaupun kenduri kahwin belum nampak besar tetapi keluarga balik kampung itu nampak ramai dan Port Dickson penuh, mungkin itu menjadi kebimbangan Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) dengan apa yang berlaku di Negeri Sembilan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

Dua hari lepas, Negeri Sembilan mencatatkan kadar kebolehjangkitan tertinggi dengan 1.04 diikuti Putrajaya (1.02), Kuala Lumpur (1.01), Selangor (0.97), Melaka (0.96), Perlis (0.94), Kelantan (0.92), Sabah (0.90) dan Johor (0.88).

Seterusnya, Terengganu, Kedah, Pahang, Perak, Pulau Pinang dan Sarawak merekodkan R-naught di bawah purata kebangsaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: