Tidak wajar banding Pulau Langkawi, Pulau Batu Puteh: Dr Mahathir

Dr Mahathir Mohamad - Foto Bernama
Dr Mahathir Mohamad - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir tampil mempertahankan keputusan kerajaan yang ditadbirnya pada ketika itu untuk tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pulau Batu Puteh.

Malah, menerusi catatan di blog Chedet pada Rabu, Dr Mahathir turut menjelaskan tidak wajar untuk membandingkan antara Pulau Langkawi dan Pulau Batu Puteh.

Ini kerana katanya, kedua-dua pulau berkenaan mempunyai 'latar belakang' yang berbeza.

Jelasnya, Langkawi adalah pulau yang diiktiraf sebagai pulau milik Malaysia sedangkan Pulau Batu Puteh ialah beting atau 'sandbank' yang dituntut oleh dua negara.

"Langkawi tidak pernah dituntut oleh Siam dan pegawai kerajaan negeri Kedah tidak pernah menyatakan kepada Siam bahawa Kedah tidak anggap Langkawi bukan milik Kedah.

"Sebaliknya kerajaan Johor melalui surat telah menyatakan bahawa Johor tidak menuntut Pulau Batu Puteh sebagai milik kerajaan Johor.

"Kemudian Malaysia mendakwa Pulau Batu Puteh adalah milik Malaysia. Maka ini dipertikai oleh Singapura dan berlakulah kontroversi," katanya.

Tambahnya, percubaan secara rundingan untuk Malaysia memiliki semula Pulau Batu Puteh bertahun-tahun tidak berjaya.

Artikel Berkaitan:

"Singapura masih mendakwa Pulau Batu Puteh adalah milik Singapura," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, pilihan yang pada ketika itu adalah Malaysia boleh berperang untuk rampas Pulau Batu Puteh, namun kos dan korban jiwa amat tinggi.

Justeru katanya, ia tidak dapat diterima oleh kerajaan, tambahan kemenangan belum tentu berpihak kepada Malaysia.

"Jadi, kita terus berunding tetapi tidak menghasilkan apa-apa keputusan. Kita dan juga Singapura bersetuju untuk rujuk kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

"Tetapi untuk ini kedua-dua pihak perlu berjanji secara bertulis akan menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh ICJ. Tidak ada rayuan terhadap keputusan ICJ. Keputusan ICJ adalah muktamad," katanya.

Menurutnya, rujukan kepada ICJ hanya akan diterima oleh ICJ jika perjanjian menerima tanpa soal dan keputusannya dihormati.

Pada 14 Oktober lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, bertitah tindakan mesti diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pulau Batu Puteh, jika benar ia mempunyai unsur kecuaian dan kekhilafan.

Dalam hantaran terbaharu di laman Facebook rasmi, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baginda bertitah mahukan penjelasan di sebalik tindakan kerajaan ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2018 untuk tidak meneruskan permohonan semakan ke atas penghakiman kes Pulau Batu Puteh di ICJ.

Pada 8 Oktober, Jemaah Menteri bersetuju agar pasukan petugas khas diwujudkan bagi semakan semula undang-undang berkenaan kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh.

Menerusi kenyataan Perdana Menteri pada Sabtu, penubuhan itu bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

Pada 2018, kerajaan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dr Mahathir menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan ICJ sebelum kes itu dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018.