UMNO belum putuskan sebarang kerjasama: Tok Mat

Mohamad (empat kanan) ketika taklimat dan perasmian serentak persidangan UMNO bahagian Rembau di Hotel Royal Chulan di sini pada Rabu.
Mohamad (empat kanan) ketika taklimat dan perasmian serentak persidangan UMNO bahagian Rembau di Hotel Royal Chulan di sini pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - UMNO belum memutuskan sama ada bergerak secara sendirian atau bekerjasama dengan mana-mana parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November depan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam masa terdekat.

"Keputusan akan dibuat setelah mengambil kira segala pandangan, kaji selidik yang kita buat, maklum balas dari setiap bahagian-bahagian dan negeri Melaka sendiri serta laporan-laporan yang kita terima.

"Apa juga keputusan termasuk syor-syor daripada biro politik dan pandangan lain akan kita bincang dengan teliti kerana mesyuarat ini satu agenda sahaja, jadi kita tidak ambil banyak masa untuk berbincang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas taklimat dan perasmian serentak persidangan UMNO bahagian Rembau di Hotel Royal Chulan di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata, apa jua keputusan dalam mesyuarat tersebut dan kenyataan mengenainya akan dibuat oleh presiden dan setakat ini UMNO belum membuat sebarang keputusan.

Media sebelum ini melaporkan, Setiausaha Agung Perikatan Nasional(PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, PN akan mengumumkan bentuk kerjasama bersama rakan politik termasuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN Melaka dalam masa terdekat.

Katanya, pemimpin parti komponen PN termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Pas akan mengadakan perbincangan dengan rakan politik lain untuk membentuk kerjasama berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohamad berkata, sekiranya UMNO bergerak sendirian, parti itu sudah membuat pembahagian kerusinya, namun jika diputuskan sebaliknya maka pembahagian itu akan diubah.

"Secara umumnya,UMNO sudah tahu mana kerusi-kerusi yang kita hendak bertanding, cuma jika ada pihak lain (kerjasama parti lain) kita akan ubah semula (pembahagian kerusi).

"Ini semua terpulang kepada keputusan MT UMNO, Melaka tiada banyak kerusi jadi tidak ada isu pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen BN. Kita tak boleh kata kerusi tradisi lagi, bagi UMNO bila kita masuk PRN Melaka, kita nak menang bukan nak bermegah-megah,” katanya.