Lokasi 'laut terbelah’ tular, ditutup kepada orang ramai

Lokasi ‘laut terbelah’ di Pantai Mek Mas, Kota Bharu ditutup dan ditampal notis larangan bagi menggelak tragedi dan kecelakaan.
Lokasi ‘laut terbelah’ di Pantai Mek Mas, Kota Bharu ditutup dan ditampal notis larangan bagi menggelak tragedi dan kecelakaan.
A
A
A

KOTA BHARU - Lokasi tumpuan dianggap ‘laut terbelah’ yang terjadi akibat air surut hingga membentuk laluan pasir sejauh satu kilometer di Pantai Mek Mas, Kuala Besar di sini ditutup kepada orang ramai atas faktor keselamatan.

Kawasan berkenaan dipercayai ditutup sejak Isnin selepas lokasi itu tular di media sosial hingga menjadi tarikan orang ramai untuk mengunjunginya.

Ketua Kampung Mukim Che Latif, Zainudin Daud berkata, pihak berkuasa menutup lokasi itu untuk keselamatan para pengunjung berikutan berlaku ombak pasang besar.

Katanya, beting pasir yang boleh dilalui pengunjung sebelum ini sudah sebahagian tenggelam akibat ombak pasang besar itu.

“Kelmarin diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bencana peringkat daerah dengan melarang pengunjung datang bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Saya harap pengunjung faham dan mematuhi arahan dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita pada Rabu.

Pengunjung yang tidak dapat memasuki kawasan ‘laut terbelah’ di Pantai Mek Mas kerana ombak pasang.
Pengunjung yang tidak dapat memasuki kawasan ‘laut terbelah’ di Pantai Mek Mas kerana ombak pasang.

Beliau berkata, air laut mulai pasang hingga menenggelamkan beting pasir berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, lokasi tersebut turut dipacak dengan bendera merah sebagai tanda amaran bahaya serta dipasang pita amaran kuning bagi memberi peringatan kepada orang ramai supaya menjauhi kawasan itu.

“Masih ramai berkunjung ke pantai ini untuk melihat fenomena yang jarang berlaku itu tetapi diminta untuk tidak mendekati kawasan beting ‘laut terbelah’,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Salmi Shafie berpendapat, keputusan menutup kawasan itu adalah baik bagi mengelak malapetaka.

“Sekiranya terjadi tragedi, nyawa tidak boleh ditukar ganti walaupun diakui tempat itu menarik dan unik kerana jarang berlaku.

“Waktu sekarang ombak besar dan baik ia ditutup terutama kepada pengunjung yang membawa anak-anak kecil,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, fenomena pantai terbelah sepanjang satu kilometer tular di media sosial.

‘Laut terbelah’ itu dikatakan berlaku ketika waktu bulan penuh dan air ombak surut sehingga terbentuk beting pasir.

Fenomena unik berkenaan menarik perhatian orang ramai yang mahu mengambil gambar seolah-olah berjalan kaki di atas permukaan laut.

ARTIKEL BERKAITAN: Pantai Mek Mas diserbu selepas tular fenomena 'laut terbelah'