Op Benteng kekang penyeludupan, nilai rampasan RM34.48 juta

 Pelaksanaan Op Benteng di sempadan Sarawak-Kalimantan berjaya menghalang aktiviti penyeludupan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM34.48 juta, setakat Oktober ini. - Foto fail Bernama
Pelaksanaan Op Benteng di sempadan Sarawak-Kalimantan berjaya menghalang aktiviti penyeludupan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM34.48 juta, setakat Oktober ini. - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Op Benteng di sempadan Sarawak-Kalimantan berjaya menghalang aktiviti penyeludupan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM34.48 juta, setakat Oktober ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz berkata, dalam tempoh sama, sejumlah 16,069 pendatang tanpa izin ditahan manakala 2,326 diusir.

“Dalam memperkukuh kawalan sempadan negara bagi menangani jenayah rentas sempadan, Tentera Darat juga menjalankan kerjasama bersepadu dengan lain-lain agensi penguatkuasaan menerusi Op Benteng sejak Mei tahun lepas,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada persidangan Dewan Negara di sini pada Rabu.

Mengenai pengambilan orang asli dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), beliau berkata, tiada kuota berkaitan kaum dalam pengambilan calon untuk menganggotai pasukan keselamatan itu, sebaliknya pemohon perlu memenuhi syarat semasa kelayakan pengambilan pegawai dan anggota ATM.

“Asas penyertaan terbuka kepada semua rakyat Malaysia secara sukarela dan tiada sistem kuota pengambilan mengikut kaum. ATM atau Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak mengamalkan pengambilan khas untuk kemasukan orang asli ke dalam perkhidmatan, namun terdapat inisiatif luar kotak sudah dilakukan TLDM dalam hal ini.

“Satu sesi perbincangan antara wakil Bahagian Sumber Manusia TLDM dan Pengarah Bahagian Modal Insan dan Kebajikan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dilaksanakan pada 23 September lepas berhubung peluang penyertaan warga muda orang asli dalam TLDM,” katanya.

Ikhmal Hisham menjelaskan, Jakoa sudah mengemukakan 71 calon dalam kalangan belia orang asli yang berminat untuk menyertai temuduga Pengambilan Perajurit Muda TLDM hujung tahun ini.

“Sekiranya syarat ditetapkan dipenuhi, TLDM amat mengalu-alukan penyertaan mereka. Pada masa ini, terdapat seorang pegawai orang asli suku Jakun yang baru menamatkan latihan dan ditauliahkan sebagai Leftenan Muda TLDM pada Jun 2020,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Senator Datuk Isa Ab Hamid yang mewakili masyarakat orang asli ketika sesi perbahasan RMK12 mencadangkan pengambilan khas belia orang asli terutamanya daripada suku orang Kuala, Mah Meri dan orang Seletar dalam perkhidmatan ATM khususnya TLDM kerana mereka biasa dengan kawasan berair selain mahir berenang. - Bernama