X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

Bila monorel Putrajaya nak siap?

Projek laluan monorel Putrajaya yang ditangguhkan pada 2004. (Gambar kecil: Mohd Hisamudin Yahaya)
A
A

SHAH ALAM - Sidang Dewan Negara pada Rabu panas seketika apabila isu projek monorel Putrajaya yang 'terbengkalai' hampir 20 tahun dibangkitkan.

Perkara itu dibangkitkan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya ketika sesi soal jawab oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Sum Agong.

"Mohon mencelah Yang Dipertua, saya hendak minta penjelasan tentang monorel di Putrajaya. Monorel Putrajaya (dibangunkan) tahun 2000. Sekarang ini sudah tahun berapa timbalan menteri?

"Sekarang ini, relnya sudah siap tetapi trennya tidak ada. (Jadi) bila rancangan ini hendak dilaksanakan? Kita sudah lama menunggu dan keadaan di Putrajaya makin lama makin sesak," katanya.

Persoalan yang dibangkitkan Mohd Hisamudin itu kemudian dibalas oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dengan mengatakan senator itu merupakan anak jati Putrajaya.

Mohd Hisamudin sekali lagi bangkit mencelah dengan meminta penjelasan bila projek itu dijangka siap.

"Bila semua ini (projek monorel Putrajaya) boleh siap? Senang saya hendak jawab dengan orang kawasan (Putrajaya)," katanya.

Menjawab persoalan yang dibangkitkan itu, Henry berkata, setakat ini beliau tidak mempunyai tarikh tetap bila projek itu dijangka siap.

Mendengar jawapan yang kurang jelas daripada Henry itu, Rais kemudian meminta supaya persoalan itu di bawah ke Kementerian Pengangkutan untuk dijawab secara bertulis.

"Setiausaha (Dewan Negara) tolong catat (minta Kementerian Pengangkutan jawab secara bertulis) supaya jawapan betul-betul ada (mengenai projek monorel Putrajaya)," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, projek monorel Putrajaya yang sebelum ini ditangguhkan akan diteruskan dan dijangka siap pada 2025.

Projek laluan monorel itu ditangguhkan pada 2004 dan mengikut perancangan asal, Monorel Putrajaya dicadangkan mempunyai dua aliran, satu sepanjang 12 kilometer (km) dengan 17 stesen dan satu lagi sepanjang 6km dengan enam stesen.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!