Tiada siapa halang Arul Kanda hadiri prosiding PAC

Arul Kanda hadir di Mahkamah Tinggi hari ini berhubung perbicaraan kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang dihadapinya. - Foto Bernama
Arul Kanda hadir di Mahkamah Tinggi hari ini berhubung perbicaraan kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang dihadapinya. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu diberitahu bahawa tiada siapa yang menghalang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy daripada menghadiri prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi menjelaskan laporan audit akhir syarikat itu.

Bekas Pengarah Jabatan Audit Negara (JAN), Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, 65, berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh ketua pasukan pendakwaan Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Arul Kanda atas tuduhan meminda laporan audit akhir 1MDB.

Sri Ram: Pada pengetahuan anda, adakah anda atau sesiapa menghalang Arul Kanda daripada menghadiri mesyuarat PAC untuk memberikan penjelasannya?

Saadatul Nafisah: Tidak.

Sri Ram: Jadi, anda tidak buat apa-apa untuk menghalangnya?

Saadatul Nafisah; Ya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Arul Kanda menghadiri mesyuarat pada 25 Februari 2016, iaitu sehari selepas satu mesyuarat yang pegawai kanan kerajaan bersetuju meminda laporan asal 1MDB.

"Beliau datang dengan laporan meminta pindaan," kata saksi pendakwaan ketujuh itu, sambil menambah bahawa perkara yang berlaku pada 24 dan 25 Februari 2016 itu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat PAC.

Artikel Berkaitan:

Menjawab soalan lain, Saadatul Nafisah, yang menyifatkan laporan audit 1MDB sebagai laporan audit khusus berkata, laporan audit mengenai projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) juga merupakan laporan khusus.

Beliau berkata, laporan audit khusus mengenai 1MDB dan projek klia2 juga dianggap bersifat siasatan.

"Tidak seperti audit biasa yang dibuat JAN, laporan audit khusus diminta oleh kabinet atau PAC, dan juruaudit diberi kuasa bukan sahaja mendapatkan maklumat daripada pihak diaudit tetapi juga daripada pihak lain," tambahnya.

Sri Ram: Anda menyifatkan ini (1MDB) sebagai audit khusus. Adakah ini kali pertama dilakukan (oleh JAN)?

Saadatul Nafisah: Tidak. Kami telah melakukan beberapa kali sebelum ini. Terdapat permohonan daripada kabinet mengenai projek klia2.

Beliau berkata, audit mengenai projek klia2 dijalankan semasa Najib menjadi Perdana Menteri tetapi beliau (Najib) tidak meminta salinan laporan ataupun sebarang perubahan pada laporan itu.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada laporan audit akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan bagi mengelak Ahli Parlimen Pekan itu dikenakan tindakan.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 29 November. -Bernama