Angkara cemburu, suami maut ditikam isteri

Suspek yang berusia 26 tahun direman selama tujuh hari, manakala mayat mangsa dibawa ke bahagian Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat. Gambar kecil: Zainal Mohamed
Suspek yang berusia 26 tahun direman selama tujuh hari, manakala mayat mangsa dibawa ke bahagian Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat. Gambar kecil: Zainal Mohamed
A
A
A

GOMBAK - Pertikaman lidah antara sepasang suami isteri bertukar tragedi selepas wanita berkenaan bertindak menikam suaminya dalam kejadian di kediaman mereka di Kampung Laksamana, Batu Caves di sini lewat malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada jiran kepada pasangan tersebut yang mengesyaki mangsa membunuh diri pada jam 12.35 pagi Rabu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran mulut antara mangsa yang berusia 45 tahun dan isterinya (suspek) di mana mangsa menuduh suspek mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain pada jam 11.30 malam Selasa.

"Mangsa telah mengambil sebilah gunting dan cuba untuk menyerang suspek menyebabkan suspek bertindak balas dengan mematahkan besi kaki payung lalu terus menikam mangsa di bahagian bawah perut.

"Mangsa dipercayai terus rebah dalam keadaan berlumuran darah dan meninggal di tempat kejadian akibat tikaman tersebut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Zainal Mohamed berkata, polis menemui senjata yang digunakan oleh suspek untuk menikam mangsa iaitu sebatang besi kaki payung di belakang rumah suspek dan motif kejadian adalah kerana cemburu.

Katanya, suspek yang berusia 26 tahun direman selama tujuh hari, manakala mayat mangsa dibawa ke bahagian Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Asisten Superintenden Agilan Iswaran di talian 03 6126 2222 atau 019 5230 801," ujarnya.