Bajet Selangor 2022: Pembangunan luar bandar tidak terpinggir

Borhan (kanan) mengiringi Amirudin menyampaikan tablet kepada penerima.
Borhan (kanan) mengiringi Amirudin menyampaikan tablet kepada penerima.
A
A
A

SHAH ALAM - Pembangunan di luar bandar tidak terpinggir dalam Bajet Selangor 2022, kata Exco Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Selangor, Borhan Aman Shah.

Menurutnya, ini kerana selain menaikkan ekonomi rakyat di negeri berkenaan, pembangunan dan pengurusan di kawasan luar bandar juga seharusnya seimbang.

"Jadi untuk (kawasan) luar bandar kita fokus kepada baik pulih jalan (rosak) selain pembinaan kebuk sampah di kawasan-kawasan kampung yang telah dikenal pasti di negeri Selangor.

"Pembuangan sampah di kawasan ini agak serius dan tidak bersistem sekaligus menyebabkan gangguan dan memberi pandangan yang tidak cantik kepada kampung dan pesisir bandar ini.

"Kita akan memberikan fokus terhadap keperluan ini dan juga memperkasakan pentadbiran ketua-ketua kampung," katanya yang menjangkakan pembentangan Bajet Selangor 2022 akan bermula pada 28 November selama 10 hari.

Penghulu di Selangor menerima 57 tablet menerusi peruntukan MBI.
Penghulu di Selangor menerima 57 tablet menerusi peruntukan MBI.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Tablet kepada Penghulu Negeri Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Rabu.

Penyampaian 57 tablet kepada penghulu di negeri Selangor menerusi peruntukan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) berjumlah RM150,000 disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Hasnul Baharuddin dan Pengerusi Kesatuan Penghulu/Pengawa Semenanjung Malaysia Cawangan Selangor, Jumasri Jumin.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kerosakan jalan yang kritikal di kawasan luar bandar, beliau memaklumkan antaranya ialah di kawasan Kuala Langat dan Sabak Bernam.

"Bagaimanapun kerja-kerja pembaikan sudah bermula semula dan dijangka dapat diselesaikan hujung tahun, ini menerusi bajet diperuntukkan untuk pembangunan luar bandar bagi tahun ini," katanya.