X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

'Saya dikecam teruk, sering disindir'- Siti Nordiana

Siti Nordiana hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu, bagi prosiding kes saman fitnah di laman sosial Instagram (IG) terhadap Lan Solo, Syura dan tiga individu lain.
A
A

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Siti Nordiana Alias memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu bahawa siaran langsung di laman sosial Instagram (IG) oleh Lan Solo, Syura dan tiga individu lain menyebabkan dia mendapat kecaman hebat daripada peminat serta netizen.

Ketika perbicaraan hari pertama kes saman fitnah ke atas lima individu itu atas dakwaan memfitnahnya di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan, Siti Nordiana berkata, antara kecaman yang diterima ialah mendakwa beliau seorang penghidap bipolar.

Siti Nordiana atau lebih dikenali sebagai Nana berkata, terdapat juga komen di siaran langsung IG, yang mengatakan ‘tak sangka Nana begitu’, ‘teruknya perangai Nana’ dan ‘kesian pada peminat dia’.

Menjawab soalan peguam, Azlan Abdul Razak yang mewakili Syura, Lan Solo dan isterinya, Nur Sheila, Siti Nordiana berkata, siaran itu juga menyebabkan peminat serta netizen menganggapnya sebagai seorang artis yang bermuka-muka dan mempunyai perangai yang tidak baik.

Azlan: Puan, sila rujuk di bahagian atas (dokumen mahkamah), minit ke-8.09 yang dinyatakan oleh Lan Solo, ‘sampai tak pandang kita’.

Siti Nordiana: OK.

Azlan: Puan kata Lan Solo fitnah Puan dengan berkata demikian. Maksud puan, apa yang cuba disampaikan di situ?

Siti Nordiana: Apa yang dia cuba cakap ialah, perangai saya tidak elok, tidak hormat orang, saya angkuh jadi itu menunjukkan ‘sampai tak pandang kita ni siapa’ umpama saya tak pandang mereka itu siapa.

Sedangkan beliau berkata, tidak pernah mengeluarkan kenyataan itu kepada semua defendan iaitu pertama hingga ketiga, Lan Solo, 36, (Mohd Razlan Mohamed Yusof); isterinya Nur Sheila Hassim, 36; serta Syura, 35, (Zuraidah Badron).

Sementara defendan keempat dan kelima ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 43, dan jurusolek artis, Razidah Ahmad Senusi, 42.

Selain itu, Siti Nordiana berkata, beliau sering disindir di IG Live rakan artisnya itu, sehingga peminat mula menyedari perkara berkenaan.

“Saya tahu ia dituju kepada saya sebab dah banyak kali sindir saya di IG sampaikan ada peminat maklumkan perkara itu kepada saya,” katanya.

Pada 3 Ogos lalu, Sinar Harian melaporkan, penyanyi dan pelakon Siti Nordiana Alias atau lebih dikenali sebagai Nana memfailkan saman ke atas lima individu termasuk dua rakan artis iaitu Lan Solo dan Syura atas dakwaan memfitnahnya di platform media sosial Instagram.

Prosiding disambung 19 November depan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!