X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Mahkamah benar rayuan Shafee saman Majlis Peguam

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Persekutuan di sini pada Rabu membenarkan rayuan peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung saman terhadap Majlis Peguam dan dua lagi berhubung peranannya sebagai timbalan pendakwa raya dalam kes liwat II, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dua lagi responden ialah bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri V.C. George.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf dan dua Hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli juga mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan mengarahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk penilaian ganti rugi terhadap Majlis Peguam selaku responden ketiga.

Hakim Abdul Rahman ketika membacakan keputusan sebulat suara itu berkata, mahkamah tidak membuat perintah yang sama terhadap Thomas dan George, kerana responden pertama dan kedua mereka bukan badan berkanun yang terikat dengan Seksyen 99(1) Akta Profesion Undang-Undang 1976.

Beliau berkata, rayuan itu hanya berkaitan dengan persoalan sama ada responden bertanggungjawab dalam tort pelanggaran kewajipan statutori dan bukan untuk sebab-sebab lain tindakan, iaitu fitnah dan konspirasi untuk memfitnah.

“Rayuan ini juga tidak berkaitan dengan pertanyaan sama ada perayu (Muhammad Shafee) telah atau tidak bersalah atas salah laku. Ia adalah perkara yang perlu ditentukan oleh Lembaga Disiplin dalam prosiding tatatertib yang sedang berjalan terhadap perayu.

“Seksyen 99(1) LPA (Akta Profesion Undang-Undang) mensyaratkan sebarang aduan mengenai kelakuan peguam bela dan peguam cara harus dibuat secara bertulis dan dirujuk kepada Lembaga Disiplin.

“Dengan melanggar syarat undang-undang ini, Thomas dan George telah menggerakkan Majlis Peguam di bawah Seksyen 64(6) LPA untuk mendapatkan kelulusan mengutuk perayu ‘dengan tegas’ kerana melanggar disiplin,” katanya dalam keputusan yang disampaikan secara maya melalui Zoom.

Hakim Abdul Rahman berkata, Majlis Peguam telah melakukan pelanggaran undang-undang yang lebih serius apabila menerbitkan usul itu di laman webnya dan membentangkannya untuk diselesaikan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).

“Ini bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi sangat tidak adil dan memudaratkan perayu kerana ini merupakan prasangka terhadap kesalahannya sebelum prosiding tatatertib di hadapan Lembaga Disiplin,” katanya.

Hakim Abdul Rahman berkata, untuk membenarkan ahli Majlis Peguam membuat aduan salah laku melalui usul di bawah Seksyen 64(6) LPA adalah menjadikan Seksyen 99(1) sama sekali tidak mempunyai makna, untuk itu setiap aduan mengenai tingkah laku peguam bela dan peguam cara hanya boleh dibuat kepada Majlis Peguam, dan akan diputuskan secara ringkas dari dewan tanpa perlu merujuk aduan itu kepada Lembaga Disiplin.

“Ini bukan sesuatu yang akan dikira oleh mahkamah ini kerana ia merupakan pelanggaran undang-undang yang jelas di bawah Majlis Peguam sebagai penjaga LPA. Dalam konteks kes sekarang, badan yang diamanahkan oleh undang-undang untuk menguruskan semua perkara berhubung kelakuan peguam bela dan peguam cara adalah Lembaga Disiplin dan bukan Majlis Peguam.

“Majlis Peguam tidak mempunyai urusan hakikat dan undang-undang untuk menangani sebarang aduan salah laku oleh peguam bela dan peguam cara, sama ada melalui usul di bawah Seksyen 64(6) atau dengan cara lain,” katanya.

Hakim Abdul Rahman juga berkata, kuasa untuk mendisiplinkan peguam bela dan peguam cara diberikan oleh Lembaga Disiplin dan kuasa ini perlu dilaksanakan oleh Lembaga berdasarkan peraturan yang relevan.

“Majlis Peguam tahu dengan tepat prosedur yang betul dalam menangani salah laku ahli-ahlinya. Oleh itu ia tidak bertindak dengan baik dalam kes ini dalam membenarkan usul yang dikemukakan oleh Thomas dan George dibentangkan dan diputuskan dari Dewan, sebaliknya merujuk terlebih dahulu kepada Lembaga Disiplin untuk tindakan Lembaga,” katanya.

Pada prosiding Rabu, peguam Datuk Ambiga Sreenevasan, Porres Royan dan Lambert Rasa-Ratnam, masing-masing mewakili Thomas, George dan Majlis Peguam manakala Muhammad Shafee mewakili dirinya sendiri.

Pada 19 Ogos 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan Muhammad Shafee merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Pada 26 Mei 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah yang difailkan Muhammad Shafee terhadap responden. Mahkamah Rayuan pada 11 Oktober 2018, menolak rayuan Muhammad Shafee dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Muhammad Shafee yang memfailkan saman itu pada Mac 2015, mendakwa pada 28 Februari 2015, Thomas yang disokong oleh George telah menerbitkan dan menyerahkan usul untuk dibincangkan di AGM Majlis Peguam pada 14 Mac 2015.

Usul itu berhubung peranan Muhammad Shafee sebagai timbalan pendakwa raya dalam kes rayuan kes liwat Anwar di Mahkamah Persekutuan, mendakwa beliau (Muhammad Shafee) telah melanggar peraturan profesion undang-undang yang melarang peguam daripada mencari publisiti untuk diri sendiri.

Usul itu turut mendakwa Muhammad Shafee terlibat dalam jelajah di seluruh negara bagi menghina banduan dan menarik perhatian terhadap peranannya dalam sabitan ke atas Anwar.

Pada 10 Februari 2015, Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitan terhadap Anwar dalam kes liwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara, namun Anwar menerima pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018.

Dalam permohonannya, Muhammad Shafee antara lain memohon pengisytiharan bahawa usul itu mala fide kerana tujuan usul semata-mata untuk memalukan beliau dan AGM bukan forum yang sesuai untuk mendengar usul itu. -Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!