KKM batal notifikasi krim jerawat Ailisi

Gambar hiasan 123rf.
Gambar hiasan 123rf.
A
A
A

PUTRAJAYA - Notifikasi produk kosmetik, Ailisi Acne Purifying Cream dibatalkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan dikesan mengandungi racun berjadual, clindamycin.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM, Norhaliza A Halim dalam kenyataannya berkata, produk berkenaan tidak lagi dibenar untuk dijual di negara ini.

"Produk yang mengandungi clindamycin adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli

profesional kesihatan," katanya pada Rabu.

Menurut beliau, penggunaan antibiotik clindamycin tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan mudarat kepada kesihatan.

"Ia juga boleh meningkatkan risiko kerintangan yang seterusnya mengurangkan keberkesanannya untuk merawat jangkitan pada masa hadapan," jelas beliau.

Sehubungan itu, tegas beliau, penjual dan pengedar produk kosmetik tersebut perlu menghentikan penjualan serta pengedaran produk kosmetik tersebut serta-merta.

"Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," katanya.

Artikel Berkaitan:

Norhaliza berkata, individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.

"Bagi kesalahan berikutnya boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Jika syarikat yang melakukan kesalahan, denda RM50,000 untuk kali pertama dan RM 100,000 untuk kesalahan berikutnya," tegas beliau.

Menurut beliau, orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan supaya segera menghentikan penggunaannya.

"Dapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan sampingan," katanya.