Penyamun pakai kain pelikat acu parang

Wan Mohd Zahari (tengah) bersama pegawainya menunjukkan parang dan pakaian digunakan suspek yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Kuantan pada Rabu.
Wan Mohd Zahari (tengah) bersama pegawainya menunjukkan parang dan pakaian digunakan suspek yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Kuantan pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Seorang tukang kebun di sebuah premis swasta ditahan kerana disyaki terlibat dalam lima kes samun bersenjatakan parang ke atas kedai serbaneka, kedai runcit dan orang perseorangan di sekitar daerah ini sepanjang September lalu.

Suspek berusia dalam lingkungan 30-an ditahan di rumah keluarganya di Sungai Soi di sini pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, penahanan suspek itu susulan laporan polis berhubung kes samun sebuah kedai serbaneka di Indera Mahkota di sini.

Menurutnya, hasil siasatan dan bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh, suspek disyaki terlibat dalam kes tersebut.

"Suspek turut mengaku terlibat dalam empat kes lain termasuk samun ke atas Individu perseorangan sebelum ini.

"Dalam serbuan itu, polis juga merampas sebilah parang, telefon bimbit dan pakaian yang digunakan semasa melakukan samun," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini pada Rabu.

Wan Mohd Zahari berkata, suspek yang memiliki rekod jenayah lampau berkait kes dadah dipercayai bertindak bersendirian dengan menjadikan kedai serbaneka, kedai runcit dan individu perseorangan sebagai sasaran.

Katanya, suspek menggunakan modus operandi dengan menyamar sebagai pelanggan sebelum bertindak mengacukan parang kepada pekerja premis.

Artikel Berkaitan:

"Suspek juga didapati tampil dengan 'imej baik' apabila memakai kain pelikat ketika melakukan jenayah itu.

"Walau bagaimanapun tiada kes kecederaan melibatkan mangsa dilaporkan dalam kes-kes tersebut," katanya.

Tambah beliau, walaupun jumlah kerugian dialami mangsa kecil kurang dari RM1,000, namun tindakan suspek itu menimbulkan trauma terhadap semua mangsa terlibat.

"Suspek kini direman sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, siasatan diteruskan bagi mengenalpasti sama ada suspek turut terlibat dalam kes jenayah lain yang dilaporkan di daerah ini.