Kerajaan perkenal Digital ID bermula tahun ini

Hamzah ketika berucap pada Sambutan Hari Pendaftaran Negara yang ke-73 secara dalam talian pada Rabu.
Hamzah ketika berucap pada Sambutan Hari Pendaftaran Negara yang ke-73 secara dalam talian pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan bersetuju untuk memperkenalkan inisiatif Identiti Digital Nasional (IDN) atau Digital ID selaras dengan keperluan semasa yang memerlukan perkhidmatan dan transaksi secara digital dan dalam talian.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, proses perancangan dan perlaksanaan IDN bermula pada tahun ini dan dijangka dilaksanakan sepenuhnya pada tahun 2024.

Menurutnya, IDN akan menjadi suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital dengan menggunakan teknologi terkini biometrik seperti cap jari, pengecaman wajah dan iris bagi rakyat menjalankan urusan dalam talian.

“Pengesahan individu secara digital ini adalah penting bagi mengelakkan penipuan identiti bagi urusan secara dalam talian yang boleh merugikan negara.

“KDN (Kementerian Dalam Negeri) dan JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) telah dipertanggungjawabkan untuk menerajui pelaksanaan inisiatif ini kerana data, maklumat dan rekod penduduk berada di bawah jagaan dan bidang kuasa JPN.

“Selain itu, IDN merupakan salah satu inisiatif dalam Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital).

Inisiatif ini adalah selari dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasa pendigitalan perkhidmatan kerajaan berteknologi dan berkapasiti tinggi secara ‘end-to-end’ yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat, sekali gus memacu kepada perkembangan ekonomi digital negara,” katanya sempena Sambutan Hari Pendaftaran Negara yang ke-73 secara dalam talian pada Rabu.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, bagi memastikan JPN bersedia dari segi sistem dan infrastruktur untuk mengendalikan urusan pengesahan identiti pengguna melalui IDN, sistem dan infrastruktur ICT sedia ada di JPN akan terus ditambah baik agar ia sentiasa terkini dan selamat.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, IDN tidak akan menggantikan MyKad sedia ada sebagai dokumen pengenalan diri, sebaliknya IDN akan memperkukuhkan keselamatan MyKad.

“Semakan dan pengesahan individu warganegara yang mempunyai MyKad dapat dilaksanakan dengan mudah dan tepat dengan pelaksanaan IDN.

“Ia bukan hanya dapat membantu melancarkan semua proses yang terlibat, apa yang lebih penting ianya mampu memberi keyakinan tinggi rakyat terhadap sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan,” jelasnya.