Pas tak bayar Clare, Hadi ajak buat solat hajat adu pada ALLAH

A
A

Pas tak bayar Clare, Hadi ajak buat solat hajat adu pada ALLAH

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, hari ini membuka mulut menegaskan tiada sebarang bayaran dibuat kepada Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, untuk penyelesaian luar mahkamah kes saman fitnah.

Hadi berkata, Pas atau beliau sendiri secara individu tidak pernah membuat bayaran RM1.4 juta itu seperti didedahkan peguam Rewcastle-Brown, Americk Singh Sidhu dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun kata Hadi, Pas tidak berhasrat untuk membawa kes serangan terbaru dihadapi parti itu ke mahkamah bagi membersihkan nama kerana tidak mahu membuang masa dan wang.

Sehubungan itu katanya, beliau mengajak orang ramai bersolat hajat di seluruh negara mengadu kepada ALLAH.

Suami isteri suspek bunuh Nur Aisyah Aleya direman seminggu

Sepasang suami isteri direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, Nur Aisyah Aleya Abdullah.

Perintah tahanan reman sehingga 14 Mac dikeluarkan Majistret Mohd Ridzwan Salleh terhadap suspek lelaki berusia 37 tahun yang tidak bekerja, manakala isterinya berusia 40 tahun merupakan seorang jururawat di Hospital Langkawi.

Pasangan suami isteri terbabit ditahan petang semalam di sebuah inap desa di Taman Melati, Ampang, Selangor susulan kehilangan Nur Aisyah Aleya selepas ibu kandungnya, Rosmaliah Samo, 32, membuat laporan polis pada 3 Mac lalu.

Mayat kanak-kanak malang itu kemudian ditemui di kawasan gaung di Gunung Raya pada 11.30 pagi semalam, selepas suspek lelaki menunjukkan lokasi mayat mangsa dibuang dipercayai dilakukan pada 16 Februari lalu.

ADUN Ketari, Rara sah bercerai talak satu

ADUN Ketari, Young Syefura Othman sah bercerai talak satu dengan suaminya Muhamad Masyhur Abdullah dalam satu prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, hari ini.

Prosiding lafaz cerai itu diucapkan Muhamad Masyur terhadap Young Syefura atau lebih dikenali sebagai Rara, 30, dihadapan Hakim Syarie Mohd. Saifullah Hamzah.

Sebelum prosiding dimulakan, Mohd. Saifullah bertanyakan alasan penceraian tersebut dan Muhamad Masyur menyatakan beliau mengemukakan permohonan cerai itu kerana tiada persefahaman dalam rumah tangga mereka.

Muhamad Masyur mengemukakan permohonan cerai tersebut mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.

Adun dari DAP itu berkahwin dengan Muhamad Masyur yang merupakan seorang pengurus pelaburan pada 24 September 2016 dan pasangan itu tiada cahaya mata.

SPRM Kedah rampas baja subsidi, benih padi RM150,000

Pihak berkuasa Kedah merampas 33 tan baja bersubsidi dan 100 tan benih padi bernilai RM150,000 dalam satu serbuan ke atas sebuah gudang di Simpang Empat, semalam.

Operasi yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah bersama-sama pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta pegawai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) itu susulan dakwaan gudang tersebut menjalankan aktiviti penjualan baja dan anak padi secara tidak sah.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah SPRM Kedah Shaharom Nizam Abd Manap berkata SPRM difahamkan ada pihak membekalkan baja bersubsidi kepada pihak gudang tersebut untuk dibungkus semula dan dipasarkan pada harga tinggi.

Terdapat beberapa longgokan baja subsidi di dalam gudang tersebut dan pihak KPDNHEP menyita 33 tan baja yang dianggarkan bernilai RM53,000 manakala MOA pula menyita 100 tan anak benih padi yang tidak sah dianggarkan bernilai RM97,000.

Perodua sumbang Bezza kepada Polis Selangor

Dalam memberi khidmat kepada masyarakat dan negara, Perodua telah menyumbang tiga unit Bezza kepada Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor (IPK Selangor) untuk digunakan sebagai kenderaan peronda.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, Bezza ini telah dilengkapi dengan peralatan polis untuk digunakan di IPK Selangor, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman serta Polis Daerah Hulu Selangor.

Upacara penyerahan telah diadakan di IPK Selangor, Shah Alam pada hari Selasa yang lalu, di mana Datuk Zainal telah menyampaikan kunci kepada Ketua Polis Selangor Comm Datuk Noor Azam Jamaludin.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia