X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 26 Januari 2022

Kerajaan akan perkukuh usaha bantu PMKS di bawah RMK12: Mustapa

Mustapa - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memperkukuh usaha bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terutamanya pemilik perniagaan kecil dengan melaksanakan program meningkatkan pendapatan dan membina kapasiti di kawasan bandar dan luar bandar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kerajaan akan membantu kumpulan sasaran dengan menggalakkan keusahawanan dan menyediakan akses kepada kemudahan pembiayaan.

“Dalam konteks membina semula dengan lebih baik, RMK12 disasarkan untuk memastikan kita boleh mencapai status pendapatan tinggi menjelang tahun 2025. Pada masa sama, kita perlu lebih mampan untuk memastikan kita boleh menjadi negara neutral karbon seawal tahun 2050.

“Rancangan itu juga akan menyediakan pembangunan lebih seimbang di seluruh wilayah dan negeri bagi memastikan hasil pembangunan dikongsi bersama oleh semua rakyat kita,” katanya dalam ucap tama beliau yang dirakam terlebih dahulu pada Forum CEO Yayasan Kepimpinan Perdana 2021 yang diadakan secara maya pada Rabu.

Serentak dengan itu, katanya, kerajaan akan mengukuhkan lagi akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan perumahan dan menambah baik kualiti hidup golongan miskin bandar, terutamanya yang tinggal di Program Perumahan Rakyat (PPR).

“Keutamaan kerajaan dalam tempoh lima tahun akan datang termasuk meningkatkan pendapatan, membasmi kemiskinan tegar dan mengurangkan jurang pembangunan antara negeri dan wilayah serta memastikan pertumbuhan berkualiti yang mampan.

“Seperti rancangan lima tahun yang dilaksanakan sebelum ini, RMK12 menyediakan trajektori menyeluruh agenda pembangunan kerajaan. Ia menyediakan panduan kepada agensi kerajaan, sektor swasta, pelabur dan orang awam mengenai keseluruhan hala tuju dasar kerajaan,” katanya.

Forum dua hari itu yang bermula Rabu disertai oleh ketua-ketua perniagaan dan pakar industri untuk membincangkan mengenai kebimbangan ini serta berkongsi pandangan tentang tema forum ‘Perniagaan dalam Normal Baharu’.

Forum itu yang menampilkan lebih daripada sepuluh sesi pleno, sesi perbincangan dan sesi ucap tama, bakal menjanjikan platform perbincangan yang rancak bagi pertukaran idea dan perangkaian.

Topik yang akan dibincangkan pada forum itu adalah meluas daripada perspektif makro dalam sesi pleno hinggalah kepada topik khusus industri pada sesi perbincangan.

Sesi-sesi itu akan merangkumi perbincangan mengenai perjalanan dan pelancongan, digitalisasi PKS, cabaran sektor runcit serta isu pengangguran, termasuk satu sesi mengenai impak belia dalam perniagaan dan politik. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!