X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 21 Mei 2022

Dua anggota polis mengaku tidak bersalah terima rasuah RM500

Dua anggota polis mengaku tidak bersalah menerima suapan RM500 di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Rabu.
A
A

ALOR SETAR - Dua anggota polis dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dua pertuduhan menerima rasuah bernilai RM500 empat tahun lalu.

Tertuduh, Shah Erwan Kasa @ Mansor, 41, dan Andinor Zabidin, 37, yang berpangkat koperal dan koperal sokongan polis, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Murtazadi Amran selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh yang bertugas di Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda didakwa dengan niat bersama secara rasuah memperoleh wang tunai sebanyak RM300 daripada seorang lelaki yang kini berusia 28 tahun.

Kedua-dua tertuduh didakwa menerima satu suapan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap lelaki berkenaan serta seorang wanita disyaki berkhalwat di dalam kereta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 26 Mei 2017 kira-kira jam 12.30 pagi di Jalan Lagenda 3, Sungai Petani dekat sini.

Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua anggota polis tersebut didakwa dengan niat bersama telah menerima rasuah sebanyak RM200 daripada lelaki sama untuk tujuan sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 12 Jun 2017, antara 9 hingga 9.30 malam di tepi tasik, Jalan Persiaran Perdana Height, Lot 88, Sungai Petani.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694).

Jika sabit kesalahan, kedua-duanya boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta sama iaitu dipenjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tan Sew Ping manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Mohd Khairul Hafizuddin Ramli.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap kedua-dua tertuduh dan mereka membayar jaminan tersebut.

Tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen ditetapkan pada 22 November depan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!