85 peserta PPSB terima bayaran sewa tapak bagi tempoh 10 musim

Azman (tiga dari kiri) menyampaikan replika cek kepada penerima yang menyertai PPSB bagi tempoh 10 musim di PPK F-III, Pendang pada Rabu.
Azman (tiga dari kiri) menyampaikan replika cek kepada penerima yang menyertai PPSB bagi tempoh 10 musim di PPK F-III, Pendang pada Rabu.
A
A
A

PENDANG - Seramai 85 peserta Projek Penanaman Padi Skala Besar (PPSB) Kampung Asam Jawa di sini menerima bayaran sewa tapak bagi tempoh 10 musim bermula musim 2/2021 hingga 1/2026.

Exco Pertanian dan Industri Makanan, Azman Nasrudin berkata, kesemua peserta berkenaan telah bersetuju untuk menyambung perjanjian sewa pajak yang meliputi kawasan seluas 64.106 hektar.

Menurutnya, bermula tahun 2015, pengurusan tanah sawah ini telah diambil alih oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) F-III Pendang yang memulakan pelaksanaan Projek Pemacu Pertanian (PPP) atau turut dikenali sebagai Projek Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

"Projek ini telah mendapat peruntukan modal pusingan melebihi RM0.5 juta daripada pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bagi melaksanakan Projek PPSB," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sewa Pajak Projek Penanaman Padi Skala Besar (PPSB) Kampung Asam Jawa di PPKF-III Pendang di sini pada Rabu.

Azman berkata, pada tahun 2020, projek ini telah dilaksanakan di bawah Projek PPSB dan dikenali sebagai Estate Management Model (EMM) 2.0.

"Objektif projek ini adalah meningkatkan hasil padi, mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar, mengoptimumkan penggunaan tanah dan meningkatkan kecekapan pembangunan serta pengurusan.

"Kita berharap projek ini akan mencapai sasaran lapan tan per hektar peningkatan hasil padi menjelang tahun 2026.

"Oleh itu, semua pesawah dialu-alukan menyertai PPSB ini bukan sahaja di Kampung Asam Jawa sahaja malah di lain-lain kawasan MADA," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang penerima, Noor Hidayah Yahya, 34, berkata, dia bersama dua adiknya yang lain bersetuju untuk menyambung projek berkenaan bagi lima tahun akan datang.

Katanya, mereka mengambil keputusan menyertai projek terbabit untuk mengelakkan tanah sawah milik arwah ayahnya terbiar.

“Hasil daripada menyertai projek ini, kami menerima bayaran sebanyak RM26,010.40 yang melibatkan 11 hektar tanah milik arwah ayah. Insya-ALLAH duit terbabit akan dibahagi sama rata antara kami bertiga," katanya.