Pemimpin perlu contohi kepimpinan Rasulullah SAW

Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) berpegang teguh dengan keperluan untuk negara ini mempunyai kepimpinan berintegriti dan berwibawa yang mencontohi ciri-ciri kepimpinan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat Baginda.

Presiden Ikram, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad juga mengajak semua pihak melaksanakan titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenaan kepimpinan Rasulullah SAW sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pada 18 Oktober lalu.

“Kepimpinan Rasulullah SAW berteraskan niat ikhlas dan pengorbanan yang jujur dalam melaksanakan amar makruf dan mencegah kemungkaran melalui akhlak mulia dan tindakan yang luhur dalam menegakkan kebenaran.

“Hikmah dan kebijaksanaan kepimpinan Baginda wajib diambil iktibar dan dijadikan panduan terutama dalam kalangan mereka yang diamanahkan dengan tanggungjawab kepimpinan khususnya ulama dan umara.

“Sesungguhnya perutusan berkenaan amat relevan dalam suasana, realiti dan cabaran yang dihadapi negara pada masa ini,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, Mohd Parid berkata, dalam usaha mencegah rasuah khususnya di kalangan pemimpin negara, Ikram menyokong penuh dan terlibat dengan gerakan #Rasuah Busters yang dicetuskan Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub bersama tokoh-tokoh masyarakat yang lain.

Katanya, program tersebut meletakkan visi untuk membangun sistem nilai dalam legasi Malaysia yang sifar toleransi rasuah dan bebas dari penyalahgunaan kuasa.

“Dalam konteks yang lebih luas, Ikram berhasrat untuk menjadi rakan kongsi strategik untuk membina Malaysia menjadi sebuah negara rahmah.

Artikel Berkaitan:

“Negara rahmah bermaksud negara yang aman, makmur dan sejahtera di mana kebebasan, kebenaran serta keadilan ditegakkan dengan erti kata yang sebenarnya.

"Demi membawa negara ke tahap yang gemilang dan rahmah, Ikram terus komited menyokong dan melaksanakan usaha-usaha untuk membangunkan negara, seiring dengan mesej-mesej yang diketengahkan oleh Sultan Nazrin,” ujar beliau.