Petani haram warga asing ceroboh tanah

Muhamad Kamal (kiri) meninjau salah satu lokasi tapak pembakaran terbuka yang berlaku di Kampung Johan Setia, pada Ahad lalu.
Muhamad Kamal (kiri) meninjau salah satu lokasi tapak pembakaran terbuka yang berlaku di Kampung Johan Setia, pada Ahad lalu.
A
A
A

KLANG - Tindakan segelintir petani haram warga asing di sekitar Kampung Johan Setia, di sini yang bertindak menceroboh tanah secara sesuka hati mengundang keresahan penduduk setempat.

Lebih membimbangkan, tindakan pihak terbabit yang didakwa melakukan pembakaran secara terbuka turut menyebabkan kawasan itu sering berlaku pencemaran udara.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Johan Setia, Muhamad Kamal Ismail, 48, berkata, isu pencerobohan tanah oleh petani warga asing di kawasan itu semakin berleluasa sejak empat tahun lalu malah kejadian kebakaran juga kerap berlaku disebabkan oleh tindakan mereka.

"Kebanyakan petani haram di sini terdiri daripada warga Myanmar, Bangladesh dan Indonesia.

"Kebiasaannya mereka melakukan pembakaran tersebut bagi meneroka tanah untuk melakukan aktiviti pertanian secara haram namun tindakan berkenaan telah menyebabkan berlakunya pembakaran tidak terkawal sehingga sering mengundang risiko pencemaran udara kepada penduduk setempat," katanya ketika ditemui Sinar Harian, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Muhamad Kamal berkata, aktiviti pembakaran haram oleh pihak terlibat kebiasaannya dilakukan pada waktu malam bagi menggelakkan kegiatan itu dikesan orang awam.

"Untuk tahun ini sahaja, dianggarkan lima kejadian kebakaran berlaku antaranya melibatkan kawasan stor pembuangan sisa pepejal yang ditinggalkan, kebun petani, tapak pelupusan sampah haram dan lain-lain," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Sri Nadi, di sini, Othman Baharuddin, 64, berkata, insiden kebakaran tanah lapang berhampiran rumahnya pada Sabtu lalu turut mengundang kebimbangan berikutan jarak lokasi kejadian hanya terletak sekitar 60 meter.

Artikel Berkaitan:

Othman berkata, ketika kejadian itu, dia amat risau sekiranya api kebakaran merebak sehingga ke kawasan rumah kediamannya.

"Nasib baik angin ketika itu tidak ke arah rumah kami dan pasukan penyelamat segera tiba bagi melakukan kerja pemadaman," katanya.

Seorang lagi penduduk, Rahman Tahir, 65, berkata, kawasan Kampung Johan Setia sememangnya kerap berlaku kejadian kebakaran terbuka dan disebabkan itulah pemantauan perlu dilakukan secara berkala.

Tambahnya, kebanyakan tanah yang diceroboh adalah berstatus hak milik persendirian malah kebanyakan pemilik juga tidak mengetahui mengenai keadaan yang berlaku itu.

"Kebanyakan pemilik tanah hanya mengetahui tanah mereka diceroboh selepas menerima notis daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Disebabkan itulah, kami sebagai penduduk berharap agar pemilik tanah di kawasan ini dapat bersama-sama membantu dengan memastikan tanah mereka tidak diceroboh," katanya.

Ahad lalu, JAS Selangor berjaya mengesan aktiviti pembakaran terbuka di Kampung Johan Setia bersebelahan Lebuhraya Shah Alam (KESAS) di sini menerusi pemantauan menggunakan dron.