Tengkujuh: Pasukan JBPM Kelantan tunggu arahan KKM untuk dos ketiga

Jainal (tengah) melakukan gimik Pelancaran Kesiapsiagaan JBPM Kelantan menghadapi Monson Timur Laut ( MTL) di Sungai Pengkalan Datu, di sini.
Jainal (tengah) melakukan gimik Pelancaran Kesiapsiagaan JBPM Kelantan menghadapi Monson Timur Laut ( MTL) di Sungai Pengkalan Datu, di sini.
A
A
A

KOTA BHARU - Seramai 1,245 kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kelantan sudah bersedia untuk menerima suntikan penggalak vaksin Covid-19 daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandangkan bakal berdepan tugasan menyelamat pada musim tengkujuh.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kelantan, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Jainal @ Zainal Madasin berkata, langkah tersebut adalah selari dengan tugasan pada musim tengkujuh yang dijangka bermula November ini.

"Kami tunggu dan bersedia untuk menerima vaksin samada minggu ini atau minggu hadapan jika diarahkan oleh KKM. Kami sentiasa berhubung untuk maklumat lanjut mengenainya memandangkan bakal berdepan cabaran menguruskan mangsa-mangsa banjir pada musim tengkujuh termasuk pesakit Covid-19," katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Kesiapsiagaan JBPM Kelantan menghadapi Monsun Timur Laut ( MTL) di Sungai Pengkalan Datu, di sini, pada Rabu.

Menurut Jainal, seramai 565 orang kakitangan JBPM Kelantan terlibat dalam kumpulan operasi dan tidak menolak kemungkinan kumpulan berkenaan diberi keutamaan untuk menerima dos penggalak tersebut.

Katanya, cabaran kali ini bukan sahaja berdasarkan tahap skala banjir tetapi kes penularan Covid-19 di kalangan kakitangan semasa melakukan operasi menyelamat.

Menurutnya, sehingga kini, tujuh anggota JBPM sedang menjalani kuarantin di rumah kerana mempunyai kontak rapat dengan individu dijangkiti pandemik berkenaan.

Mengenai cuti kakitangan JBPM Kelantan untuk persediaan banjir kali ini, Jainal berkata, cuti mereka akan dibekukan jika berlaku banjir besar.

"Kali ini ada perubahan sikit kerana bot yang boleh memuatkan enam atau lapan mangsa banjir sebelum ini hanya boleh dinaiki tiga atau empat orang terutama jika mereka ada kaitan dengan pesakit Covid-19 atau kontak rapat.

Artikel Berkaitan:

"Kami akan pastikan kapasiti bot mengikut penjarakan ditetapkan. Pemilihan bot juga sudah diteliti supaya ia memenuhi keperluan di setiap lokasi banjir," katanya.