Penganggur ditahan bersama pil kuda, wang tunai RM80,000

Mohd Haki Hasbullah (tengah) ketika sidang media di Rumah Kelab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman pada Selasa.
Mohd Haki Hasbullah (tengah) ketika sidang media di Rumah Kelab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman pada Selasa.
A
A
A

KEMAMAN - Polis menahan seorang penganggur bersama dadah jenis pil kuda dan wang tunai RM80,000 dalam serbuan ke atas sebuah kediaman di Kampung Lubok Lesung, Air Putih di sini, pada Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, dalam serbuan kira-kira jam 12.10 tengah hari itu, suspek seorang lelaki warga tempatan berusia 34 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

"Hasil pemeriksaan lanjut menemui 27 biji pil warna merah disyaki pil kuda yang bernilai RM270.

"Polis turut menjumpai wang tunai bercampur-campur bernilai RM80,000 yang disyaki hasil aktiviti penjualan dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman pada Rabu.

Menurut Mohd Haki, berdasarkan maklumat diterima, pihak polis percaya suspek mula bergiat aktif sejak awal tahun ini untuk memasarkan bahan terlarang itu di daerah Kemaman.

"Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan telah ditahan reman sehingga 21 Oktober depan.

"Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, dadah dan wang tunai yang di rampas itu merupakan rampasan terbesar sejak Ops Jihad Dadah 2.0 dilancarkan pada 14 Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini, pihak polis telah menahan 49 individu berusia dalam lingkungan antara 18 hingga 70 tahun yang disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di daerah ini.

"Daripada jumlah itu, seramai 11 individu diklasifikasikan sebagai kes pembekalan, 38 orang penagih termasuk empat individu lagi yang terlibat dalam kes yang dikehendaki," katanya.

Ops Jihad Dadah 2.0 dilancarkan serentak di lapan daerah negeri ini pada 14 Oktober lalu oleh Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa.