Ceroboh hutan: Kerajaan negeri tunggu laporan Jabatan Perhutanan

Mohd Amar
Mohd Amar
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan negeri Kelantan menunggu laporan rasmi daripada Jabatan Perhutanan Negeri mengenai dakwaan pencerobohan Hutan Simpan Ulu Galas dekat Kampung Pulai, Gua Musang.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, beliau sendiri masih belum menerima laporan tersebut namun berdasarkan maklumat awal katanya, berlaku pencerobohan di kawasan terlibat.

"Saya sendiri belum terima laporan dan kami tunggu laporan rasmi daripada mereka. Dari segi maklumat awal, memang berlaku pencerobohan.

"Mereka menceroboh kawasan hutan simpan tanpa kebenaran dan bercucuk tanam secara haram di tanah tersebut. Ia memang satu kesalahan besar," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan MABNA, Kompleks Kota Darulnaim di sini, pada Rabu.

Sebelum ini akhbar tempatan melaporkan lebih 30 pengusaha membuat kebun durian Musang King dan getah di atas tanah seluas 90 hektar di kawasan berkenaan.

Mereka bagaimanapun diarah pihak berkuasa supaya mengosongkan kawasan itu setelah 25 tahun mengusahakannya.

Sinar Harian difahamkan, melalui notis pengosongan bertarikh 30 September yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan Kelantan, mereka dipercayai meneroka Hutan Simpan Ulu Galas secara haram dan dikehendaki mengosongkannya dalam tempoh 14 hari.

Artikel Berkaitan: