Kerajaan perlu tutup ‘lompong’ kesan Covid-19

Wacana Sinar edisi ke-299 bersama moderator, Ismail serta panelis, Aminuddin (tengah) dan Dr Mohd Afzanizam (kanan) yang berlangsung di Kompleks Karangkraf. -Foto: Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
Wacana Sinar edisi ke-299 bersama moderator, Ismail serta panelis, Aminuddin (tengah) dan Dr Mohd Afzanizam (kanan) yang berlangsung di Kompleks Karangkraf. -Foto: Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu berusaha keras dalam menutup ‘lompong-lompong’ yang terhasil kesan daripada pandemik Covid-19 dalam kalangan rakyat.

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pandemik Covid-19 telah memberikan impak yang besar terhadap rakyat apabila sebanyak 12.8 peratus golongan kumpulan T20 telah beralih kepada M40 manakala M40 kepada B40 sebanyak 20 peratus.

“Ini bermakna, kesan pandemik ini merangkumi dan merentasi segenap lapisan masyarakat. Kalau cakap pasal pelancongan misalnya, antara industri yang terkait adalah sektor penerbangan dan kita dapat lihat di media sosial, ramai juruterbang telah pun beralih karier mereka kepada perniagaan.

“Jadi, itu satu salah satu bentuk respons yang diambil mereka. Walaupun daripada segi pendapatannya, memang tak sama jika dibandingkan kerja sebagai juruterbang kepada berniaga.

“Di situ, kita nampak peranan kerajaan, sudah tentu akan ada lompong-lompang yang perlu ditutup. Mungkin mereka ini ada modal tetapi dari segi perlaksanaan perniagaan itu saya kira ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana memerlukan kemahiran, keazaman dan latihan supaya mereka dapat bernafas,” katanya.

Beliau berkata demikian selaku penalis pada Wacana Sinar edisi ke-299 bertajuk 'Dari T20 Ke M40: Apa Kesudahannya?' yang dikendalikan moderator, Ismail Adnan.

Ia turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) Aminuddin Yahya dan Pengarah Urusan Mak Cun Jutawan Sdn Bhd, Erma Fatima (secara dalam talian), yang berlangsung di Kompleks Karangkraf.

Artikel Berkaitan:

Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid
Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid

Mengulas lanjut, Mohd Afzanizam menjelaskan bahawa kerajaan juga perlu mewujudkan satu pusat sehenti bagi segala jenis bantuan yang ditawarkan untuk memudahkan rakyat yang ingin mendapatkan bantuan.

“Contohnya, apakah bentuk-bentuk geran dan bantuan mikro yang boleh mereka dapat supaya segala kemudahan serta bantuan yang ditawarkan dapat diberikan kepada golongan sasaran,” jelasnya.

Selain itu katanya, sukar untuk mengkategorikan bantuan hanya berdasarkan kepada pendapatan T20, M40 atau B40, sebaliknya perlu melihatnya kepada bentuk yang lebih luas.

“Maksudnya, definisi mereka yang layak diberi bantuan ini kalau kita lihatkan kepada pendapatan, mungkin akan ada golongan-golongan yang kita terlepas pandang atau mungkin ada golongan yang terlebih mendapat manfaatnya.

“Sebab itu, dari sudut data bagaimana pemantauan dilakukan, siapa yang betul-betul layak itu saya kira perlu diperhalusi agar pendefinisian golongan yang layak itu lebih teratur dan tidak hanya bergantung kepada pendapatan semata-mata, yang melambangkan tahap ekonomi seseorang.

“Maksudnya, lebih teliti dalam menentukan siapa yang layak diberikan bantuan. Kalau sekadar pendapatan sahaja, dikhuatiri berlaku tersasar bantuannya,” jelasnya.

Pada masa yang sama, walaupun fasa pemulihan ekonomi sudah bermula, namun beliau menyifatkan ia sangat ‘vulnarable’ dan sensitif pada perubahan.

Beliau berkata, andai wujudnya varian lain dan sebagainya maka risiko untuk berlakunya sekatan pergerakan sekali lagi memang ada.

"Jadi di sinilah peruntukan kerajaan yang besar itu amat diperlukan untuk menjana ekonomi atau pemulihan ekonomi yang lebih konsisten," ujarnya.