680 petugas kesihatan sedia hadapi banjir di Terengganu

Operasi memindahkan mangsa banjir di Kemaman tahun lepas. - Foto fail Sinar Harian/ ihsan APM
Operasi memindahkan mangsa banjir di Kemaman tahun lepas. - Foto fail Sinar Harian/ ihsan APM
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 680 petugas Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) bersedia membantu mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sepanjang musim tengkujuh tidak lama lagi.

Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, ia bagi memastikan semua mangsa banjir berada dalam keadaan sihat dan bebas daripada sebarang penyakit berjangkit.

"Seramai 322 orang mengendalikan aktiviti pencegahan di samping kawalan penyakit sebelum, semasa dan selepas banjir di PPS atau kawasan terjejas banjir.

"Setiap pasukan kesihatan itu diwakili tiga anggota yang terdiri daripada penolong pegawai kesihatan persekitaran, pembantu kesihatan awam dan pemandu," katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Beliau berkata, baki 358 petugas akan melakukan pemeriksaan kesihatan, rawatan dan rujukan jika berlaku kejadian kecemasan di PPS iaitu terdiri dalam kalangan pegawai perubatan, pembantu pegawai perubatan, jururawat terlatih, jururawat masyarakat dan pemandu.

"Setiap tahun menjelang Oktober, semua petugas kesihatan dipastikan berada dalam keadaan bersiap siaga untuk menghadapi banjir di semua daerah, lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.

"Walaupun kes Covid-19 di Terengganu menunjukkan trend penurunan, kita tidak boleh leka. Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mesti diutamakan bagi membendung penularan Covid-19 di PPS," katanya.

Artikel Berkaitan: